suria

Pelumba Basikal Wanita Kebangsaan Mati Jatuh Semasa Latihan

IPOH: Pelumba basikal wanita kebangsaan Norfarahdini Zakaria meninggal dunia selepas terjatuh semasa menjalani latihan bersama skuad lumba basikal Tentera Laut Diraja Malaysia di Lambor Kiri dekat Seri Iskandar, 60 kilometer dari sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintenden Mohamad Fakri Che Sulaiman berkata Norfarahdini meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh dua jam selepas kejadian pada 10.20 pagi tadi.

Norfarahdini, 27, berpangkat Laskar Kelas Satu dan belum berkahwin, adalah anggota pasukan lumba basikal wanita kebangsaan yang menyertai Sukan Sea di Laos tahun lepas bersama Masziyaton Mohd Radzi, Nurul Ahmar Badeuzzaman dan Kimberley Yap.

Jurulatihnya Mohd Salmiza Salleh berkata Norfarahdini bersama lima pelumba lain, kesemuanya lelaki, berlepas dari pangkalan TLDM Lumut pada 7.30 pagi tadi untuk menjalani latihan menjelang kejohanan lumba basikal Jelajah Malaysia 2010 yang dijadual bermula 27 April ini.

"Kejadian berlaku apabila seorang pelumba yang berada di hadapan Norfarahdini terjatuh dan dia tidak sempat mengelak dan turut terbabas," katanya.

Norfarahdini dirawat di sebuah klinik berhampiran sebelum dimasukkan ke Hospital Changkat Melintang.

Norfarahdini yang koma kemudian dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh tetapi meninggal dunia pada 12.30 tengah hari.

Mohd Salmiza berkata jenazah Norfarahdini akan dibawa ke kampungnya di Pasir Mas, Kelantan, malam ini.

Pengerusi Lumba Basikal TLDM, Komander Ismail Osman berkata Norfarahdini dipercayai mengalami kecederaan dalaman.

"Tiada sebarang luka di bahagian luar. Ketika jatuh juga topi keselamatan tidak terbuka daripada kepalanya...mungkin kecederaan di bahagian dalaman," katanya.

Turut melawat jenazah Norfarahdini ialah bekas presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia Tan Sri Darshan Singh, yang menyifatkan pemergian Norfarahdini sebagai satu kehilangan besar kepada sukan lumba basikal negara. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain