suria

Mekanik Didakwa Rompak Pelajar Indonesia

PETALING JAYA: Seorang mekanik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan merompak secara berkumpulan bersenjatakan sebilah parang, barang kemas bernilai RM30,000 milik seorang pelajar perempuan warga Indonesia.

M. Kivan Raj, 19, didakwa bersama-sama tiga lagi yang masih bebas, merompak lima utas rantai leher emas, dua gelang emas, lima bentuk cincin emas, dan lima subang emas milik Suhanya, 14, di Apartment Vista Damansara Damai, di sini pada pukul 3.40 petang, 18 Mac lepas.

Dia yang tidak diwakili peguam, didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan yang dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Shah Rizal Abdul Manan menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin atas alasan kesalahan itu adalah serius dan melibatkan rompakan terancang berkumpulan.

Hakim Rozana Ayub membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin, dan turut mengarahkan Kivan Raj melaporkan diri di balai polis yang berdekatan sebulan sekali, sebagai syarat tambahan.

Rozana kemudian menetapkan 3 Mei ini untuk sebutan kes dan bagi membolehkan tertuduh melantik peguam. - BERNAMA

Artikel Lain