suria

7 Kes Chikugunya Dalam Tiga Bulan Pertama Di Labuan

LABUAN: Sebanyak tujuh kes penyakit Chikungunya dilaporkan di Kampung Durian Tunjong dan Batu Manikar, di sini, dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Zaini Hussin berkata, mangsa yang menghidap penyakit itu adalah warga tempatan yang berusia antara 20 hingga 40an dari dua kawasan tersebut.

Bagaimanapun, beliau memberitahu Bernama di sini hari ini, bahawa keadaan keseluruhannya adalah terkawal dan tiada tanda berlaku peningkatan kes bawaan nyamuk Aedes itu.

Katanya, pelbagai langkah telah diambil bagi mengelak penyakit itu terus menular termasuk melakukan penyemburan kabus, kempen kesihatan dan pemeriksaan di premis perniagaan serta kawasan sekitar kampung di daerah itu.

Menurut Dr Zaini, antara simptom penyakit Chikungunya termasuklah demam panas mengejut, sakit teruk pada sendi, ruam pada badan dan sakit kepala.

Beliau meminta mereka yang mepunyai simptom penyakit itu segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berdekatan.

Dr Zaini juga menasihatkan orang ramai agar meluangkan masa setiap minggu untuk membersihkan kawasan di dalam dan persekitaran rumah dan amalan ini diyakini dapat membantu memutuskan kitaran hidup nyamuk Aedes.

Artikel Lain