suria

Lantai Bangunan Dalam Pembinaan UMT Runtuh, Seorang Pekerja Maut

PETALING JAYA: Lantai di tingkat tiga sebuah bangunan milik Universiti Malaysia Terengganu yang sedang dalam pembinaan dekat Gong Badak, Terengganu, runtuh lewat petang tadi mengorbankan seorang pekerja binaan.

Dua orang lagi pekerja mengalami kecederaan serius manakala dua lagi cedera ringan.

Kesemua mereka adalah pekerja warga asing dari Bangladesh.Semasa kejadian jam 5.30 petang itu, tiga lagi pekerja yang turut berada di situ terselamat.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UMT, Prof Dr Yahaya Ibrahim ketika dihubungi berkata, bangunan yang sedang dalam pembinaan itu adalah untuk menempatkan Institut Oseanograf dan Institut Akuakultur.

Runtuhan itu berlaku katanya adalah disebabkan oleh perancah yang lemah pada lantai di tingkat tiga.

“Itulah yang kita dapat tahu bukan disebabkan oleh struktur yang lemah," katanya.

Dr Yahaya juga berkata, satu siasatan akan dilakukan bagi mencari punca kejadian secara terperinci dan sehingga itu, semua kerja-kerja pembinaan pada bangunan berkenaan akan dihentikan.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Pauzan Ahmad berkata, buruh terbabit tertimbus dalam konkrit simen yang masih basah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya empat rakan mangsa dilaporkan cedera termasuk seorang cedera parah akibat dihempap dan terjatuh dari para besi yang runtuh ketika kesemua mangsa sedang melakukan kerja-kerja pembinaan konkrit tangki air dan membancuh konkrit di bangunan itu pada kira-kira pukul 5.10 petang.

Bagaimanapun, identiti kesemua mangsa belum diperolehi, katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

"Ketika sedang melakukan kerja-kerja menyiapkan tangki air di tingkat empat bangunan itu iaitu di ketinggian lapan meter, para besi yang diduduki oleh beberapa pekerja tiba-tiba runtuh bersama konkrit tangki air yang masih belum keras.

"Konkrit bersama para besi itu kemudian menimpa beberapa orang lagi pekerja Bangladesh yang sedang melakukan kerja-kerja membancuh simen di bawah," katanya.

Pauzan berkata, kesemua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Anggota penyelamat terdiri daripada polis, bomba dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) masih berada di tempat kejadian sehingga pukul 8 malam tadi untuk menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat jika terdapat mangsa yang masih tertimbus ekoran kejadian itu.

Bangunan Institut Oseanografi dan Institut Akuakultur UMT setinggi empat tingkat itu mula dibina pada 15 Disember 2008 dan dijangka siap 18 Oktober tahun ini.

Seorang saksi yang juga juruperunding untuk projek berkenaan Sharif Dollah, berkata, beliau berada di kawasan berhampiran apabila tiba-tiba terdengar bunyi runtuhan.

"Saya nampak beberapa orang pekerja Bangladesh terjatuh dari para besi yang runtuh itu, dan apabila menghampiri tempat kejadian saya dapati mereka telah berlumuran dengan simen yang masih basah dan ada yang berdarah," katanya.

Dalam pada itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika dihubungi berkata, projek yang sedang dijalankan itu adalah di bawah seliaan Jabatan Kerjaraya (JKR).

Beliau turut menyatakan rasa kesal dengan kejadian yang tidak disangka itu.

“Saya berharap JKR akan menjalankan siasatan terperinci," katanya.

Naib Canselor UMT, Prof Dr Aziz Deraman yang kini sedang berada di Kanada pula menjelaskan beliau telah mengarahkan para pegawai universiti menghantar laporan terperinci berkaitan kejadian itu kepadanya dengan segera.

Beliau hanya dijadualkan kembali ke tanah air hujung minggu ini.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said telah melawat tempat kejadian lewat petang tadi sebelum menuju ke hospital untuk melawat mangsa.

Artikel Lain