suria

Muhyiddin Dianugerahkan Darjah Seri Utama Negeri Sembilan

KUALA PILAH: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, 63, menerima Darjah Seri Utama Negeri Sembilan (SUNS) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama di Istana Besar Seri Menanti dekat sini, hari ini.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir mengurniakan darjah kebesaran itu kepada Muhyiddin sempena Hari Keputeraan baginda ke-62 pada 14 Januari lepas.

Turut berangkat pada istiadat pengurniaan darjah kebesaran itu ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud, Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz serta Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin.

Hadir sama ialah isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumuddin, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Razak Mansor, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hassan, anggota exco kerajaan negeri dan ketua-ketua jabatan.

Selepas menyampaikan anugerah itu, Tuanku Muhriz berkenan menerima mengadap Muhyiddin dan Noorainee di Bilik Persenangan istana itu.

Timbalan Perdana Menteri kemudian menghadiri majlis santapan bersama Tuanku Muhriz dan tetamu jemputan yang hadir di Bilik Santapan sebelum pulang ke Putrajaya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain