suria

Projek CAR Kampung Sungai Terentang Diteruskan Rabu Ini

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan menyambung semula kerja-kerja pembinaan Projek Pengukuhan Sistem Kawasan Tengah (CAR) di Kampung Sungai Terentang, Rawang bermula Rabu ini (17 Mac).

TNB dalam kenyataannya hari ini berkata, projek ini telah tertangguh hampir tiga tahun selepas mendapat bantahan daripada penduduk kampung tersebut.

"Kes ini telah dibicarakan sehingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan. Pada 20 November 2009, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan projek CAR boleh diteruskan.

"Ini kerana notis di bawah Seksyen 13 Akta Bekalan Elektrik (ABE) 1990 yang diserahkan oleh TNB kepada penduduk terlibat adalah sah. Mahkamah juga turut memutuskan supaya TNB membayar pampasan kepada penduduk berkenaan," menurut kenyataan itu.

Jumlah keseluruhan pampasan adalah sebanyak RM10.4 juta sebagaimana yang diputuskan oleh kerajaan negeri Selangor.

Projek CAR merupakan satu daripada langkah susulan bagi mengelakkan kejadian gangguan bekalan elektrik pada 13 Jan 2005 berulang yang melibatkan Kawasan Tengah dan Selatan Semenanjung Malaysia (kehilangan beban 6400MW kepada tiga juta pelanggan).

Projek ini telah siap hampir 100 peratus iaitu sepanjang 59km kecuali satu kilometer di Kampung Sungai Terentang yang melibatkan pembinaan lima buah menara monopole.

"Kerja-kerja pembinaan Projek CAR ini dijangka siap pada akhir tahun ini jika ia dapat diteruskan seperti yang dirancang," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain