suria

AADK Perluas Modul Metrix Rawat Penagih Dadah Sintatik

KOTA BAHARU: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) akan memperluaskan program rawatan penagihan dadah menerusi Modul Metrix ke seluruh negara, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop.

Katanya, penggunaan kaedah pencegahan penagih dadah yang menggunakan dadah sintatik jenis Amphetamine Semulen (ATS) ini ternyata lebih berkesan setelah projek perintis ini diperkenalkan di beberapa daerah di negara ini tiga tahun lepas.

Beliau berkata, Modul Metrix berasaskan program pemulihan penagih dadah dalam komuniti mengikut makanisme yang dicontohi dari sebuah institusi di Los Angeles, Amerika Syarikat ini lebih menumpukan ke daerah atau jajahan yang kebanyakan penagih menggunakan dadah jenis ATS.

Modul Metrix ini mula diperkenalkan di negara ini di Pusat Khidmat AADK di Muar, Johor dan Kota Kinabalu, Sabah.

"Saya difahamkan projek perintis modul matrix yang diperkenalkan ini memberi kesan positif kepada penagih dadah sintatik ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, satu kertas kerja khusus mengenai pelaksanaan Program Rawatan Modul Matrix ini akan dibentangkan selepas ini.

Abu Seman berkata, kerajaan juga tidak bercadang membina tembok di pinggir Sungai Golok sempadan Kelantan-Thailand, walaupun kerajaan sedar kedua-dua sempadan itu terdedah kepada kegiatan penyeludupan dadah ke negara ini.

Sebaliknya, katanya, kerajaan akan menggunakan kemudahan yang sedia ada, termasuk sepanjang jalan di pinggir sempadan sungai itu yang dikenali kawasan Kasban untuk meningkatkan rondaan dan pemantauan.

"Kita juga akan menggunakan tenaga Rela bagi membantu pihak penguatkuasa yang lain, seperti Pasukan Gerakan Am (PGA) Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) dan anggota tentera yang bertugas di sepanjang sempadan kedua-dua negara," katanya.

Beliau berkata, program printis mengunakan modul matrix ini diperkenalkan di 10 pejabat AADK di seluruh Kelantan bagi memulihkan penagih yang dikenali sebagai Orang Kena Pengawasan (OKP) dengan mensasarkan kepada 3,489 orang sepanjang tahun ini. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain