suria

Polis Selesai 17 Kes Pecah Kereta Di Brickfields

KUALA LUMPUR: Polis berjaya menyelesaikan 17 kes pecah kereta di sekitar Brickfields dengan tertangkapnya seorang penagih dadah di rumahnya di Flat Sri Pahang, Bangsar pada Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, suspek ditahan kira-kira pukul 12 tengah hari, hasil maklumat seorang wanita yang mendakwa keretanya dipecah serta barangannya dicuri.

"Susulan daripada laporan itu, polis telah melancarkan risikan dan operasi sehingga tertangkapnya suspek. Siasatan mendapati suspek bukan sahaja terlibat dengan kes penagihan dadah, malah aktif melakukan pecah kereta sejak tahun lalu," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, semalam.

Wan Abdul Bari berkata, hasil pemeriksaan di rumah suspek polis menemui pelbagai barangan dipercayai hasil kegiatan pecah kereta termasuk wang tunai, sistem audio dan beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk memecah kereta.

"Tiga buah motosikal dipercayai dicuri dan digunakan untuk membuat rondaan bagi kegiatan pecah kereta turut dirampas," katanya.

Katanya, keseluruhan barang rampasan itu bernilai RM15,000 dan suspek ditahan reman sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan.

Dalam kes berasingan, polis berjaya menahan 30 pendatang tanpa izin (PATI) yang bersembunyi dalam hutan di Hutan Bukit Segambut.

Hasil serbuan kira-kira pukul 3 petang semalam, polis menahan sembilan warga Indonesia dan 21 Bangladesh berumur lingkungan 19 hingga 39 tahun.

"Kesemua mereka yang bekerja di tapak pembinaan tidak jauh dari hutan itu didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah. Modus operandi mereka, masuk dalam hutan pada waktu malam dan keluar pada awal pagi untuk bekerja," katanya.

Wan Abdul Bari berkata, sebanyak 30 khemah plastik telah didirikan sejak dua minggu lepas.

"Kesemua mereka akan disoal siasat sebelum diserahkan kepada Imigresen untuk tindakan lanjut," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain