Kurikulum Baru Bahasa Inggeris Diperkenalkan Tahun Depan - Muhyiddin - Semasa | mStar

Kurikulum Baru Bahasa Inggeris Diperkenalkan Tahun Depan - Muhyiddin

BESUT: Bermula tahun depan, kerajaan akan memperkenalkan kurikulum baru bagi memperkasakan lagi penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar sekolah.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran berkata kurikulum baru itu telah siap diteliti dan satu projek printis juga telah dijalankan yang setakat ini memberi keputusan yang baik.

"Kita nak melihat bagaimana anak-anak kita menguasai Bahasa Inggeris dengan lebih baik lagi dengan menggunakan pendekatan yang sesuai. Kurikulum ini akan mula diguna pakai tahun depan pada anak-anak kita yang masuk ke sekolah Tahun Satu.

"Perubahan (mungkin) pada bentuk atau formula yang ringkas seperti language art, atau pada komponen grammar tetapi dibuat secara menarik atau fun learning dan kita tekankan soal boleh bertutur menggunakan apa yang disebut phonics yang betul supaya ada satu perkara yang standard iaitu Bahasa Inggeris British yang standard," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) untuk Daerah Besut di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri oleh Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said, Pengerusi Mara Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Adun Jerteh, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Muhyiddin berkata untuk tujuan itu, kerajaan akan mengambil 365 guru Bahasa Inggeris dari luar negara pada Jun ini untuk ditempatkan di beberapa zon di seluruh negara bagi melatih guru-guru Bahasa Inggeris mengikut kurikulum baru yang akan dilaksanakan itu.

"Kita percaya dengan cara begini, walaupun kita tidak meneruskan PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris) tetapi pembelajaran Bahasa Inggeris itu adalah lebih baik lagi," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan juga merancang untuk memanggil guru-guru bersara yang mempunyai kemahiran dan kebolehan dalam Bahasa Inggeris untuk membantu mengajar subjek berkenaan.

Sementara itu, mengulas mengenai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT), Muhyiddin berkata kementerian tidak pernah memberi layanan berbeza ataupun membezakan antara sekolah-sekolah yang ada di negara ini.

"SBT bukanlah tujuan kita untuk menjadikan sekolah elitis kerana sekolah ini kalau kita tak buat SBT pun, dia dah cemerlang.

"Ia merupakan pengiktirafan betapa sekolah itu yang dipimpin oleh guru, guru besar boleh berjaya dan menjadi penanda aras kepada sekolah-sekolah lain untuk maju di samping kita nak lihat sekolah yang tak capai tahap cemerlang itu akan boleh berjaya lagi," katanya.

Muhyiddin berkata langkah mewujudkan sekolah SBT adalah sebagai usaha untuk menggalakkan lebih banyak lagi sekolah supaya mencapai tahap yang lebih baik.

Timbalan Perdana Menteri berkata dengan pemberian pengiktirafan SBT, pelajar tidak lagi berebut untuk memasuki sekolah berasrama penuh memandangkan sekolah yang diberikan pengiktirafan itu juga adalah sekolah yang terbaik.

"Untuk jangka panjang, semua sekolah dijadikan sekolah cemerlang... jadi tak payah berebut nak masuk ke sekolah berasrama penuh kerana sekolah yang ada sekarang sudah cemerlang," katanya.

Muhyiddin berkata dalam tahun ini, kementerian juga akan melaksanakan program penambahbaikan sekolah bagi memastikan semua sekolah mampu mencapai kecemerlangan.

"Kalau pun tak sampai cemerlang, tetapi mencapai tahap yang lebih baik," katanya.

Terdahulu, Muhyiddin mengumumkan peruntukan sebanyak RM200,000 kepada dua sekolah cemerlang di Besut, Sekolah Menengah Imtiaz dan Sekolah Rendah Tengku Mahmud. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

default image

Pakar ekonomi saran Malaysia laksana pembaharuan struktur

HALA tuju perdagangan dan pelaburan global memainkan peranan penting dalam ekonomi terbuka seperti Malaysia.

default image

WKB 2030: Ke arah masa depan rakyat dan negara yang lebih cerah

WAWASAN ini menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati bersama tanpa mengabaikan tanggungjawab membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sasar rapatkan jurang pendapatan rakyat... ini fakta penting yang anda perlu tahu

EKONOMI negara akan distruktur semula menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

default image

Culas bayar cukai kena penalti 300 peratus, ketahui 10 fakta penting Program Khas Pengakuan Cukai Secara Sukarela

HANGAT diperkatakan mengenai isu melunaskan cukai dan masih ada yang culas untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pembayar cukai. 

Artikel Lain

Wan Kuzain sertai latihan skuad Sukan SEA