suria

Semak Status Warga Asing: Kerajaan Kaji Sistem Sedia Ada

PUTRAJAYA: Kerajaan sedang mengkaji penambahbaikan terhadap sistem maklumat sedia ada bagi membolehkan semakan status warga asing dibuat pada bila-bila masa dan di mana-mana tempat sekalipun.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata matlamat sistem itu adalah untuk mewujudkan persekitaran di mana warga asing yang berada di negara ini tanpa status yang sah akan berasa takut dikesan pihak berkuasa dan bertindak meninggalkan Malaysia secepat mungkin.

"Kita melihat secara menyeluruh kaedah berhubung kait dengan visa, permit masuk, dokumen-dokumen seperti pasport kita sendiri supaya apa yang kita lakukan ini bukan sahaja dilihat dalam konteks memperkemaskan isu warga asing tetapi juga untuk melihat produk dan dokumen-dokumen yang ada yang dipertanggungjawabkan kepada kementerian dalam negeri," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat peringkat kementerian mengenai pemantauan warga asing, hari ini.

Katanya mesyuarat itu memperincikan beberapa perkara yang akan dibentangkan di dalam mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing dan Pendatang Tanpa Izin yang akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 22 Februari ini.

"Selain isu pengurusan dan pemantauan warga asing, antara agenda yang akan dibincangkan adalah pertimbangan dan kajian dasar semasa berhubung pengambilan pekerja asing sebagai pembantu rumah asing, pengawal keselamatan dan pekerja urut refleksologi.

"Kita juga akan membincangkan prosedur pengambilan pekerja asing khususnya melalui ejen dan syarikat penyumberan luar," katanya.

Hishamuddin turut mengulangi amaran kepada warga asing yang telah tamat permit kerja atau berada di negara ini secara tidak sah agar meninggalkan Malaysia pada kadar segera.

Katanya mereka mempunyai masa sehingga 16 Mei ini untuk menyertai program penghantaran pulang secara sukarela yang akan dibiayai sendiri dengan bayaran kompaun minimum.

Sehingga 22 Januari lalu, seramai 63,673 warga asing telah menyertai program itu sejak ia mula diperkenalkan pada bulan April 2009. -BERNAMA

Artikel Berikut