suria

Polis Siasat Motif Tindakan Raja Azman Cederakan Diri

KUALA LUMPUR: Polis masih menyiasat motif sebenar tindakan anak lelaki penulis kontroversi Raja Petra Kamarudin, Raja Azman Raja Petra, 34, yang mencederakan dirinya dengan menggunakan objek tajam termasuk menelan pisau cukup Isnin lepas.

Timbalan Pengarah I (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Hadi Ho Abdullah berkata siasatan terperinci sedang dijalankan dengan mendapatkan kerjasama dari Jabatan Penjara.

"Satu laporan polis telah dibuat pada 8 Februari olah Jabatan Penjara di Balai Polis Batu Arang, Rawang sebaik kejadian berlaku juga sudah diterima. Malah, mereka juga sudah menyalurkan maklumat berkaitan kes ini untuk membantu siasatan kita.

"Siasatan lebih menjurus kepada usaha mengenalpasti motif sebenar tahanan itu bertindak demikian, termasuk faktor atau punca yang mendorongnya mencederakan diri sendiri seperti dinyatakan dalam laporan (polis)," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Raja Azman, 34, ditahan reman di Penjara Sungai Buloh sementara menunggu dibicarakan atas empat pertuduhan mengikut Seksyen 457, Seksyen 380 dan Seksyen 379 A Kanun Keseksaan membabitkan kesalahan pecah rumah, mencuri dan curi kenderaan.

Beliau yang tidak mempunyai pekerjaan ditahan di penjara itu sejak 19 Mei lepas berikutan kegagalannya membayar wang jaminan.

Hadi berkata kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh diri.

Sementara itu, Unit Sekretariat Jabatan Penjara berkata jabatan itu telah menubuhkan lembaga siasatan bagi menyiasat kejadian itu termasuk mengenal pasti punca sebenar tahanan terbabit bertindak demikian.

Siasatan awal mendapati tiada unsur seksaan, deraan, tekanan atau paksaan terhadap tahanan terbabit, kata jabatan itu dalam kenyataan di sini.

"Dia bukan saja mengaku menelan objek tajam itu, malah turut mencederakan pergelangan tangannya hingga mengalami luka. Dia ketika ini diletakkan dalam pengawasan rapi oleh pihak hospital dan keadaannya dilapor stabil," kata jabatan itu.

Menurut kenyataan itu perbuatan mencederakan diri sendiri oleh banduan atau tahanan adalah satu kesalahan mengikut Peraturan Penjara Malaysia 2000.

Difahamkan, pasukan perubatan kini berusaha mengeluarkan objek tajam itu menggunakan kaedah pembedahan kerana kaedah biasa (semula jadi) agak berisiko dan boleh membahayakan nyawanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain