suria

Kelantan Sedia Kaji Semula Penyertaan Wanita Dalam Tilawah Al-Quran

KOTA BAHARU: Kerajaan PAS Kelantan sedia mengkaji semula larangan terhadap wanita daripada menyertai tilawah al-Quran di negeri ini, bagi membolehkan mereka mengambil bahagian di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata walaupun langkah melarang wanita daripada menyertai tilawah al-Quran dikuatkuasakan sejak mula mengambil alih negeri ini pada 1990, tetapi larangan itu boleh dikaji semula.

"Masa itu, nyanyian dengan al-Quran sama naik, menyebabkan saya tegah perempuan daripada sertai tilawah sama ada di peringkat negeri dan daerah. Kita hanya membenarkan kanak-kanak wanita umur bawah 12 tahun menyertai nasyid.

"Benda tu boleh buat, macamlah dulu, perempuan tidak boleh ziarah kubur kerana dikhuatiri menimbulkan fitnah menyebabkan percampuran dengan lelaki, tetapi benda tu biasa (boleh) dah sekarang," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Facebook Sahabat Siber Sayang Kelantan (Saing) di sini hari ini.

Mursyidul Am PAS berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai pemberian imbuhan bulanan RM2,000 seumur hidup kepada qari dan qariah yang pernah menjadi johan dalam tilawah al-Quran peringkat antarabangsa sejak 1961 berkuat kuasa Oktober lepas.

Sebelum ini, Nik Abdul Aziz pernah mengharamkan penyertaan wanita dalam tilawah al-Quran kerana alasan suara wanita adalah aurat di sisi Islam dan haram untuk dipertandingkan.

Tindakan beliau mendapat tentangan sesetengah pihak, terutama penggiat seni al-Quran dan ada sesetengah qariah dari Kelantan menyertai tilawah di peringkat daerah dan negeri di luar Kelantan. Malah seorang qariah berasal dari Kelantan, Rahmah Abdullah, pernah muncul juara peringkat antarabangsa mewakili Malaysia selepas menjadi johan di peringkat negeri Johor pada 1990-an.

Anggota Jawatankuasa Persatuan Qari Negeri Kelantan Hussein Yunus berkata kerajaan negeri wajar mengkaji semula larangan ke atas wanita daripada menyertai tilawah yang dikuatkuasakan kira-kira 20 tahun lepas bagi memartabatkan seni lagu al-Quran dan pelapis di kalangan wanita. BERNAMA

Artikel Lain