suria

Anggota Polis, Buruh Mengaku Tidak Bersalah Tuduhan Rasuah

JOHOR BARU: Seorang anggota polis berpangkat koperal dan seorang buruh binaan masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas dakwaan menerima suapan bernilai RM1,000, dan RM2,000, tahun lepas.

Ruslan Deraman, 49, anggota cawangan Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Baru Utara didakwa menerima wang tunai sebanyak RM1,000 daripada buruh binaan Lai Eng Hee, 43, sebagai dorongan untuk tidak menangkap Liau Ken Hoe dan Liow Hong Leong kerana disyaki terbabit dalam kes dadah.

Ruslan, dari Taman Pulai Perdana, di sini, didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Ameer, No 29, Jalan Enau 1, Taman Teratai, di sini, kira-kira pukul 3.10 petang, 25 April, tahun lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan.

Ruslan diwakili Peguam Khairul Azwad Sariman dan Hakim Salawati Djambari membenarkannya diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan tarikh 19 hingga 21 April tahun depan untuk perbicaraan.

Di kamar mahkamah berasingan, Lai, pula turut mengaku tidak bersalah atas dua dakwaan menerima suapan bernilai RM2,000, pada 25 April tahun lepas.

Bagi dakwaan pertama, dia dituduh menerima RM2,000 daripada Liau di sebuah kedai makan, di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Baharu Utara, Jalan Skudai, pada kira-kira pukul 1.50 pagi, 25 April, tahun lepas.

Bagi dakwaan kedua dia dituduh menerima suapan bernilai RM2,000, daripada Liau melalui Liow di sebuah kedai makan, di Kampung Poh Chee Leng, di sini, pada kira-kira pukul 2.20 petang, tarikh yang sama.

Lai, dari Bandar Baru Kangkar, Pulai, didakwa menerima kedua-dua suapan itu untuk diserahkan kepada Ruslan sebagai dorongan kepada anggota polis itu untuk tidak menangkap Liau dan Liow yang disyaki terlibat dalam kes dadah.

Lai didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Aliman Musri mengekalkan wang jaminan sebanyak RM10,000 bagi kedua-dua dakwaan dan menetapkan tarikh 5 hingga 16 Mac tahun depan untuk perbicaraan.

Pendakwaan terhadap Ruslan dan Lai dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM Norfazlin Hamdan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain