suria

Pemaju Diberi 2 Bulan Siapkan PPR Bukit Padang

KOTA KINABALU: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan hari ini memberi tempoh dua bulan kepada sebuah syarikat pemaju perumahan untuk menyambung semula kerja-kerja membina 775 unit rumah kos rendah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) di Bukit Padang, dekat sini.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Lajim Ukin berkata, sekiranya kontraktor asal itu gagal berbuat demikian kementerian mungkin menamatkan kontrak mereka dan melantik kontraktor baru.

"Projek ini agak kritikal kerana sudah terbengkalai selama hampir enam tahun. Di samping itu rumah murah ini akan digunakan untuk menempatkan penghuni rumah setinggan Bukit Padang yang perlu keluar dari kawasan itu bagi membolehkan pembinaan asrama jururawat Kementerian Kesihatan," katanya kepada pemberita selepas melawat projek itu.

Lajim berkata, projek PPR yang bernilai RM46.3 juta itu dimulakan pada 14 November 2002 dan sepatutnya siap pada November 2004.

Mengenai projek PPR yang juga terbengkalai di Kionsom, Inanam, dekat sini, Lajim berkata, beliau tidak berpuas hati dengan kemajuan yang dicapai oleh kontraktor baru untuk menyiapkan 1,000 unit rumah tiga bilik itu.

"Tahap kemajuan pencapaian sekarang hanya sekitar 1.2 peratus sedangkan kita menjangka kontraktor penyelamat ini mencapai tahap kemajuan lebih enam peratus.

"Saya sendiri akan pantau projek ini dan projek PPR yang lain di Sabah setiap bulan bagi memastikan ia siap mengikut jadual demi kepentingan rakyat berpendapatan rendah," katanya.

Beliau berkata, kontraktor baru itu telah memulakan kerja-kerja pembinaan projek tersebut sejak 26 Ogos lepas dan dijangka siap pada 23 Ogos tahun depan.

Pelantikan kontraktor baru itu juga katanya telah menyebabkan peningkatan kos keseluruhan sehingga RM70 juta berbanding kos asal RM57 juta.

Lajim berkata, empat projek PPR di seluruh negeri, masing-masing di Kunak, Keningau, Kinarut dan Kudat juga tidak dapat disiapkan mengikut jadual berikutan beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan.

Beliau berkata, sebanyak 17,200 unit rumah PPR telah dan akan disiapkan di Sabah tidak lama lagi termasuk 26 projek yang terbengkalai dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Lajim juga mahu pihak berkuasa tempatan supaya mempercepatkan proses penyewaan rumah PPR yang sudah siap di seluruh negeri.

"Difahamkan masih banyak unit rumah PPR iaitu sekitar 2,000 unit yang belum disewakan dan kita harap pihak berkuasa tempatan dapat mengatasi masalah ini dengan memberi tumpuan kepada penghuni setinggan dan mereka yang berpendapatan rendah," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain