suria

Pengusaha Produk Laut Sukar Luas Pasaran

SANDAKAN: Seorang pengusaha produk hasil laut di Pulau Tanjung Aru di sini mendakwa sukar memperluaskan pasaran produknya kerana masih belum mendapat lesen perniagaan "enterprise" yang dipohon daripada pihak berkuasa tempatan di sini.

Pada masa sekarang, Fatimah Guntom, 43, mengusahakan perniagaan menggunakan lesen kedai runcit dan ini menyukarkan dia memasarkan produk hasil lautnya dengan lebih meluas.

Katanya, lesen kedai runcit yang digunakannya pada masa sekarang membataskan bidang perniagaan yang diceburinya kerana hanya mampu menjual sendiri produk laut itu di pasar mingguan di Pekan Sandakan dan jika ada pemborong datang sendiri membeli ke pulau itu.

Menurutnya, dia tidak boleh memasarkan hasil produk itu ke luar daerah ini kerana memerlukan label pihak pengeluar dan hanya boleh dilakukan jika memiliki lesen perniagaan "enterprise" dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Sandakan.

"Saya sudah membuat permohonan itu sebanyak dua kali namun sehingga sekarang masih belum mendapat kelulusan dan ini menghadkan saya untuk meluaskan pasaran perniagaan yang saya ceburi," katanya ketika ditemui di Pulau Tanjung Aru di sini.

Fatimah berkata, dia mula terlibat dalam penghasilan produk hasil laut itu sejak 20 tahun lepas dan antara produk itu ialah keropok, serunding ikan, ikan kering dan udang kering.

Dia memperoleh bekalan udang dan ikan itu daripada nelayan di kampungnya dan menceburi bidang itu selepas menyedari potensi dalam Industri Kecil dan Sederhana (IKS) itu.

Fatimah, yang mengusahakan perniagaan itu dengan bantuan anak-anaknya serta beberapa suri rumah di pulau itu, merancang untuk mengembangkan bidang perniagaan yang diceburinya itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain