suria

GTP Bukti Ketelusan Kerajaan - Dr Koh

KUALA LUMPUR: Program Transformasi Kerajaan (GTP) menonjolkan komitmen kerajaan untuk bersikap telus dan menjamin perkhidmatan lebih baik kepada rakyat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon semalam.

Beliau berkata orang ramai boleh membantu kerajaan berkhidmat dengan lebih baik dengan memberikan penilaian dan pandangan mereka mengenai GTP.

"GTP adalah tugas yang cukup mencabar buat kerajaan kerana ia didedahkan kepada umum, dan kerajaan kini tertakluk kepada pemantauan yang cukup ketat.

"Oleh itu, kami perlu menentukan kerajaan menjalankan tugasnya dan menyampaikan GTP kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan logo baru makanan dan minuman di Bankers Club di sini.

"Misalnya, kami perlukan maklum balas daripada rakyat. Ia hendaklah dihantar terus kepada kementerian berkenaan, dengan salinan kepada Unit Pengurusan Prestasi dan Penyampaian (Pemandu) dan Biro Pengaduan Awam.

"Biro Pengaduan Awam kini mempunyai peranan baru dalam mendapatkan maklum balas daripada orang awam bagi tujuan menilai dan menambah baik perkhidmatan kerajaan," kata beliau.

Ditanya mengenai penilaian ke atas menteri, Dr Koh berkata prestasi seseorang menteri bergantung pada sumbangan dan kerjasama dengan semua petugas.

"Jika seseorang pegawai di kaunter tidak bertugas dengan baik atau tidak sopan, maka orang ramai akan menyalahkan menteri berkenaan.

"Untuk berlaku adil kepada menteri, kita perlu berikan beliau masa untuk mengubah kementerian.

"Jika anda ingin melakukan transformasi besar seluruh kerajaan melibatkan sekitar 1.2 juta orang, anda tidak boleh lakukan dalam masa singkat," ujarnya.

Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRAs) dan petunjuk prestasi utama (KPIs) menteri yabg diperkenal kerajaan harus menjadikan setiap petugas awam sensitif terhadap pantauan rakyat, katanya.

Ditanya apa jenis tindakan disiplin akan diambil terhadap petugas awam yang merosakkan imej sesebuah kementerian, Dr Koh berkata kerajaan akan mengambil sedikit masa untuk mengkaji perkara itu.

"Petugas awam patuh kepada Perintah Am. Untuk memecat seseorang petugas awam, anda perlu melihat seluruh proses Perintah Am, yang punya tujuan untuk melindungi rakyat dari dianiaya," kata beliau. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain