suria

Kementerian Pertanian Sabah Mula Guna Sistem 'Rolling Plan'

KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sabah mula menggunakan Sistem "Rolling Plan" (Perencanaan Ke Hadapan) pada tahun ini bagi memudahkan pelaksanaan program pembangunan pertanian terutama program yang berupaya memberikan impak terhadap peningkatan sosio-ekonomi rakyat.

Menterinya, Datuk Seri Panglima Yahya Hussin berkata, menerusi sistem baru itu sesuatu program boleh dilaksanakan dalam tempoh masa dua tahun berbanding sistem terdahulu yang hanya membenarkan penggunaan peruntukan sesuatu program dalam tempoh masa setahun.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, sistem terdahulu itu telah menyebabkan projek pembangunan pertanian terpaksa dibahagikan kepada beberapa pakej, yang bukan sahaja mendatangkan masalah kepada jabatan pelaksana, tetapi juga kepada kumpulan sasaran.

"Sistem baharu ini adalah baik untuk mengelak kelewatan dan masalah yang dihadapi dalam perkara (pembangunan pertanian) yang kita buat dalam tempoh masa satu tahun.

"Misalnya, kalau projek itu tidak siap dalam tempoh setahun, kita boleh guna lagi peruntukan itu untuk tahun berikutnya...tidak perlu mohon balik peruntukan pada hujung tahun kalau projek tidak siap pada tahun tersebut," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementerian itu di Dewan Serbaguna Wisma Pertanian Sabah dekat sini hari ini.

Terdahulu, semasa berucap, Yahya berkata, berdasarkan laporan jabatan dan agensi kementerian pada tahun lepas, sebanyak 180 program dan projek telah dibiayai oleh kerajaan negeri dengan peruntukan RM221.9 juta.

Daripada jumlah itu katanya, RM190.8 juta berjaya dibelanjakan dengan purata pencapaian 86 peratus.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan pula memperuntukkan RM183.6 juta bagi membiayai projek pembangunan pertanian negeri tahun lepas, dengan RM132.17 juta berjaya dibelanjakan.

Yahya berkata, pencapaian tahun lepas itu menyaksikan beberapa program yang tidak dapat disempurnakan mengikut masa yang ditetapkan.

"Saya memandang berat sebarang kelewatan atau kegagalan melaksanakan sesuatu projek atau program, akibat tidak adanya pemantauan yang rapi ke atas prestasi kontraktor yang tidak menunjukkan kesungguhan yang tinggi dalam melaksanakan projek berkenaan," katanya.

Menurutnya, kelewatan projek akan merugikan rakyat yang sepatutnya menerima faedah yang hendak disampaikan oleh kerajaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Pertikai Keputusan PKR

Artikel Berikut

Artikel Lain