suria

Sultan Selangor Gesa Hakim Syarie Tidak Lengahkan Prosiding Mahkamah

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menggesa agar hakim Mahkamah Syariah di negeri itu tidak melengahkan prosiding tanpa alasan yang munasabah dan menyelesaikan kes dalam tempoh masa yang sepatutnya.

"Beta seringkali mendapat aduan daripada orang ramai tentang kes-kes Mahkamah Syariah yang tertangguh agak begitu lama hanya disebabkan oleh perkara-perkara remeh, yang sepatutnya boleh dielakkan seperti hakim menghadiri kursus, peguam syarie mempunyai kes lain, saksi tidak dapat hadir, prosiding tidak lengkap dan sebagainya.

"Justeru, beta menyeru kepada Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) mengatasi masalah ini agar kes-kes atau perbicaraan dijalankan mengikut jadual dan diharapkan ia dapat diselesaikan dalam tempoh masa sepatutnya," titah baginda pada majlis pengurniaan watikah pelantikan Hakim-hakim Mahkamah Syariah Negeri Selangor di Istana Bukit Kayangan di sini hari ini.

Sultan Sharafuddin bertitah keutamaan hendaklah diberi kepada kes-kes Mal yang melibatkan rumahtangga agar tidak ada pihak yang teraniaya akibat kelalaian pihak tertentu.

Beta juga tidak mahu lagi mendengar aduan-aduan negatif terhadap institusi kehakiman Syariah yang secara tidak langsung menjejaskan imej agama Islam di Selangor, titah baginda.

Sultan Selangor turut menyeru hakim Mahkamah Syariah agar mematuhi segala etika sebagai seorang hakim yang berwibawa, tegas dan berkeyakinan dalam mengendalikan setiap kes.

Titah baginda, seseorang hakim Mahkamah Syariah akan melanggar etika kehakiman apabila membiarkan kepentingan persendiriannya bercanggah dengan tugas kehakiman hingga menjejaskan kedudukannya sebagai seorang hakim.

Justeru, baginda menasihatkan hakim tersebut melaksanakan keadilan sebagaimana yang dikehendaki oleh Hukum Syarak dan memberi penghakimannya berdasarkan undang-undang berkaitan ketika mendengar sesuatu kes.

"Apabila menjalankan tugas-tugas kehakiman, beta berharap seseorang hakim Mahkamah Syariah itu mestilah berada dalam keadaan tenang dan sempurna supaya dapat memberi penghakimannya dengan baik.

"Seseorang hakim Mahkamah Syariah juga mestilah tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak yang dihakimi dan mendengar dalam keadaan terbuka akan hujah-hujah daripada kedua-dua belah pihak," titah baginda.

Sultan Selangor juga berharap dengan penambahan bilangan hakim Mahkamah Syariah di negeri itu, JAKESS dapat menguruskan kes-kes Mal dan jenayah serta kes-kes Mahkamah Rayuan secara lebih efisien dan sistematik.

"Sistem E-Syariah yang sedia ada haruslah dipertingkatkan dan diperluaskan penggunaannya agar ia membantu para hakim dan kakitangan JAKESS mengendalikan rekod-rekod dan maklumat mengenai setiap kes dengan lebih berkesan," titah baginda. - BERNAMA

Artikel Lain