suria

PKR Juga Wujud Cah Keting

PETALING JAYA: Budaya 'cah keting' dilihat bukan sahaja wujud dalam PAS namun kini dikatakan turut melanda sekutunya, Parti Keadilan Rakyat(PKR).

Pensyarah Kanan Sains Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Ahmad Nizamuddin Sulaiman berkata, senario yang berlaku dalam PKR Selangor seolah-oleh menggambarkan budaya berkenaan kini sedang merebak dalam parti itu.

"Sedikit demi sedikit kita nampak budaya cah keting sebenarnya berlaku dalam PKR terutamanya di Selangor.

"Kita nampak seakan-akan budaya itu tidak dapat disembunyikan lagi, satu demi satu dakwaan yang menyokong perkara ini terdedah," katanya kepada mStar Online di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai senario yang berlaku di Selangor apabila wujud dakwaan daripada pelbagai pihak bahawa terdapatnya cubaan untuk menggulingkan kepimpinan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Senario berkenaan lebih diperkuatkan lagi apabila 13 ahli jawatankuasanya (AJK) PKR Bahagian Kuala Selangor yang diketuai Abdul Khalid bertindak meletak jawatan.

Kesemua 13 AJK berkenaan termasuk Ketua Angkatan Muda (AMK), Nazaruddin Darmawan dan Ketua Wanita, Fauziah Sulaiman meletak jawatan secara berperingkat bermula November lalu hingga kelmarin kerana hilang kepercayaan terhadap Abdul Khalid yang juga Pengerusi Perhubungan PKR Selangor.

Situasi itu bermakna Abdul Khalid hilang jawatan Ketua Bahagian sehingga pemilihan baru diadakan yang dijangka pada Mac ini.

Dakwaan budaya cah keting ini diperkuatkan lagi apabila Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali dikaitkan terlibat dalam komplot berkenaan.

Bagaimanapun Abdul Khalid hari ini dilaporkan berkata, beliau tidak percaya dengan dakwaan bahawa Azmin terlibat dalam konspirasi untuk melemahkan kepimpinannya di negeri itu.

Mengulas lanjut, Ahmad Nizamuddin berkata, setiap parti politik sama ada parti yang memerintah atau pembangkang tidak boleh lari daripada budaya `cah keting'.

Malah menurutnya PKR juga tidak ketinggalan berhadapan dengan isu yang sama kerana sifat mengutamakan kepentingan diri merupakan sesuatu yang biasa dalam politik.

"Kalau dah namanya parti politik, PKR pun tak ketinggalan dalam isu cah keting ni.

"Budaya cantas-mencantas dan tikam belakang ini perkara biasa dalam dunia polilik kerana masing-masing cuba mencari sokongan untuk naik keperingkat yang lebih tinggi.

"Dalam politik tiada istilah kawan yang kekal... kalau hari ini kita berkawanm, esok atau lusa mungkin sudah jadi musuh," katanya.

Selain itu Ahmad Nizamuddin berkata, budah cah keting yang wujud dalam PKR juga mungkin disebabkan oleh faktor perkembangan parti itu.

Katanya penerimaan yang semakin baik terhadap parti itu menjadi faktor mengapa seseorang pemimpin dalam parti bertindak di luar kebiasaannya demi kepentingan peribadi.

"Dulu mungkin parti itu tidak begitu kuat dan masing-masing berjuang untuk parti, tapi kini ia sudah berbeza.

"Pemimpin-pemimpin dalam parti telah merasakan bahawa melalui parti, mereka dapat memenuhi kehendak masing-masing," katanya.

Artikel Lain