suria

Polis Jejaki Tiga Anggota Sindiket Tipu Tukar Hak Milik Tanah

KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu sedang menjejaki tiga lelaki, dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan penukaran hak milik tanah menggunakan MyKad palsu di negeri ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil negeri, Supt Azmi Adam berkata kegiatan sindiket itu terbongkar petang Rabu lepas ekoran penahanan tiga lelaki anggota sindiket berkenaan di Pejabat Tanah Daerah kira-kira pukul 4.30 petang untuk menukar milik sebidang tanah berkeluasan 0.516 hektar di Kampung Paya Palas, Kuala Nerus dekat sini.

Katanya berikutan penahanan itu, polis kini memburu tiga lagi anggota sindiket, termasuk ketuanya yang dikenali sebagai Anizam Ibrahim, 42, kad pengenalan bernombor 680827-10-5049 dari Kampung Bukit Tunggal Kuala Terengganu.

Dua lagi lelaki yang turut dicari ialah Md Sabri Ahmad, 45, kad pengenalan bernombor 651021-11-5166 dari Kampung Banggol Air Leleh, Kuala Terengganu dan Nor Belam Jusoh, 41 (790124-11-5133) dari Kampung Bukit Tunggal.

Azmi meminta orang ramai yang mengenali ketiga-tiga lelaki terbabit supaya segera menghubungi polis bagi membantu siatan berhubung kes, yang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun keseksaan kerana melakukan penipuan.

Azmi berkata pada kejadian Rabu lepas, seorang Penolong Pentadbir Tanah berasa curiga dengan MyKad seorang daripada suspek yang berusia 64 tahun, semasa menyerahkan borang penukaran hak milik tanah lalu membuat pemeriksaan dengan Jabatan Pendaftaran Negara untuk kepastian.

"Setelah pemeriksaan dilakukan, MyKad itu didapati palsu dan pegawai berkenaan telah menghubungi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil negeri untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Berikutan itu, polis menahan lelaki berkenaan bersama dua lagi rakannya berumur, 24 dan 36 tahun yang ketiga-tiga mereka berasal dari Kuala Terengganu.

Azmi berkata polis percaya sindiket terbabit telah lama terlibat dalam aktiviti berkenaan tetapi belum dapat memastikan jumlah kes sebenar.

"Polis akan menyiasat daripada pelbagai sudut termasuk penglibatan orang dalam jabatan kerajaan. Ini kerana geran yang dikemukakan oleh sindiket terbabit merupakan geran asal," katanya.

Dalam satu kes lain, Azmi berkata polis sedang memburu seorang lelaki kerana dipercayai menyamar sebagai Pegawai Daerah Besut dengan meminta sejumlah wang daripada beberapa kontraktor di daerah itu.

"Suspek menyamar dan menghubungi beberapa kenalan pegawai daerah itu melalui telefon untuk meminta wang antara RM5,000 hingga RM6,000 kerana mendakwa mengalami masalah kewangan dan meminta mereka memasukkan wang itu dalam sebuah akaun.

"Bagaimanapun perkara itu terbongkar apabila mangsa menghubungi sendiri pegawai daerah berkenaan dan menafikan beliau ada membuat panggilan untuk meminta wang tersebut," katanya.

Ekoran itu, dua laporan polis dibuat pada 10 dan 11 Januari lepas di Balai Polis Kampung Raja Besut, dan dua laporan lagi dilakukan di Balai Polis Jerteh pada 24 Januari lepas.

Katanya polis akan mendapatkan kerjasama bank dan syarikat telekomunikasi untuk mengesan identiti suspek terbabit. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain