suria

Jauhi Sentimen Negatif, Tumpu Pada Pelajaran - Sahol Hamid

PETALING JAYA: Penuntut-penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dinasihatkan agar menjauhi sentimen negatif dan menggunakan peluang yang disediakan pihak universiti untuk belajar bersungguh-sungguh.

Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Datuk Profesor Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata, pelajar seharusnya menumpukan perhatian kepada pelajaran dan bukan membiarkan diri mereka dihanyutkan anasir luar dan agenda politik yang tidak memberi faedah kepada mereka.

"Saya sedih apabila mahasiswa IPT terlibat dengan perkara-perkara seperti ini. Seharusnya mereka menumpukan sepenuhnya pada pelajaran dan bukannya menyalahgunakan peluang yang telah diberi oleh pihak IPT," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan penahanan dua pelajar universiti dan seorang wartawan portal berita pembangkang ketika menyertai demonstrasi membantah penggunaan sistem e-undi dalam pilihan raya kampus di hadapan Kementerian Pengajian Tinggi di Putrajaya petang semalam.

Penahanan itu dibuat berikutan sekumpulan lebih 50 anggota Soladiriti Mahasiswa Malaysia (SMM) berkumpul bagi menghantar memorandum kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khalid Nordin.

Menurut Sahol, perkara seumpama itu tidak memberi kebaikan kepada penuntut kerana ia hanya membuang masa mereka.

Beliau juga tidak menolak keadaan itu berlaku kerana hasutan daripada orang luar demi kepentingan politik.

Penuntut katanya harus menggunakan kebijaksanaan dalam menilai perkara yang baik dan buruk sebelum membuat tindakan yang sia-sia serta tidak berpegang kepada emosi semata-mata.

"Ini juga adalah satu masalah besar kerana mereka ini diperdaya oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan menggunakan medium IPT sebagai cara mereka memprovokasi masyarakat," katanya.

Katanya, sistem pilihan raya yang telah ditetapkan oleh pihak universiti adalah selaras dengan setiap universiti di negara ini berlandaskan prinsip dan arahan yang dikeluarkan pihak kementerian.

"Isu e-undi atau apa sahaja mengenai pilihan raya di peringkat universiti tidak sepatutnya timbul kerana sistem itu adalah yang terbaik untuk penuntut di peringkat universiti.

"Kita di peringkat universiti sering mengadakan perbincangan untuk memperbaiki sistem tersebut bagi kebaikan semua penuntut," katanya.

Sementara itu, Sahol turut mengulas mengenai Sudut Pidato yang diperkenalkan semula di peringkat IPT selepas 34 tahun diharamkan berikutan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1975.

Baginya, kewujudan semula sudut itu adalah satu perkara yang baik yang mampu memberi pendedahan kepada penuntut IPT untuk menyuarakan hujah yang bersifat akademik.

Bagaimanapun menurutnya, sudut itu mestilah bersih daripada sebarang anasir yang berkaitan politik dan kawal selia harus dibuat oleh pihak universiti bagi mencapai objektif utama ia diperkenalkan semula.

"Jika masih ada anasir-anasir berbaur politik terlibat, saya rasa tiada gunanya sudut itu diperkenalkan," katanya.

Menurutnya, UiTM bersedia untuk memulakan kembali sudut itu dan akan memastikan ia menjadi satu medan bersifat ilmiah di UiTM.

"Kita akan berbincang dengan Hal Ehwal Pelajar (HEP) minggu depan dan akan merangka program itu di setiap fakulti untuk manfaat mahasiswa di UiTM," katanya.

Artikel Lain