suria

LPKP Kumpul Maklumat Berhubung Insiden Kemalangan Maut Sani Express

KLANG: Empat pegawai dari pejabat Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Putrajaya hari ini mengunjungi ibu pejabat syarikat bas Sani Express di Klang Sentral di sini bagi mengumpul maklumat berhubung insiden kemalangan maut membabitkan bas ekspres itu dekat Plaza Tol Ipoh Selatan awal pagi Sabtu lepas.

Keempat-empat pegawai itu tiba di Wisma Dato' Sani pada pukul 10.10 pagi dan meninggalkan perkarangan pejabat kira-kira empat jam kemudian.

Penolong Pengarah Penguatkuasa LPKP Fauzi Mohd Noor ketika ditemui pemberita berkata kunjungannya ke pejabat itu adalah prosedur biasa bagi mengumpul maklumat dan seterusnya membuat laporan berhubung insiden berkenaan.

"Laporan penuh akan diketahui dalam masa terdekat," katanya yang enggan mengulas lanjut.

Dalam kejadian yang berlaku pukul 1 pagi itu, 10 penumpang bas dua tingkat Sani Express maut manakala dua lagi cedera dengan seorang daripadanya parah apabila bas itu terbabas dan melanggar pembahagi jalan di KM272.8, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain