suria

Wanita Bimbang Nat Tertinggal Dalam Badan Semasa Pembedahan

KUALA LUMPUR: Seorang wanita kini hidup dalam ketakutan apabila sebiji nat berukuran 0.5 sentimeter tertinggal dalam badannya semasa dia menjalani pembedahan keretakan tulang belakangnya tahun lepas.

Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, wanita berusia 29 tahun itu yang merupakan seorang pereka dalaman, menjalani pembedahan di sebuah hospital swasta menggunakan teknik implan logam yang disokong dengan nat selepas terlibat dalam satu kemalangan Oktober tahun lepas.

"Selepas pembedahan, wanita itu diberitahu bahawa nat itu secara tidak sengaja telah terjatuh ke dalam bahagian tubuh yang dibedah, dan doktor lelaki yang menjalankan pembedahan itu memberi jaminan nat itu tidak berbahaya kepada kesihatannya dan akan dikeluarkan serentak dengan implan logam itu setahun kemudian tanpa sebarang kesan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Bagaimanapun pada Oktober lepas kata Chong, sebelum menjalani pembedahan itu, pakar bedah itu memberitahu wanita berkenaan bahawa nat yang telah bergerak itu kini tidak boleh dikeluarkan kerana telah berada berhampiran saluran darah.

Katanya, pembedahan itu hanya dapat mengeluarkan implan logam dan tidak berjaya mengeluarkan nat yang telah terjatuh itu.

Terkejut dengan berita itu, wanita itu mahu doktor itu membedahnya segera untuk mengelak sebarang komplikasi atau masalah lain namun doktor itu berkata beliau tidak boleh berbuat apa-apa.

Chong berkata, wanita itu juga diminta membayar untuk menjalani pembedahan yang didakwa disebabkan kecuaian doktor itu sendiri.

"Wanita ini turut dicabar supaya mencari peguam jika masih tidak berpuas hati," katanya.

Menurutnya, selepas menjalani satu imbasan baru-baru ini, wanita itu dinasihatkan supaya segera menjalani pembedahan dan ini dijadual dijalankan esok.

Chong berkata, pihaknya akan menunggu hasil daripada pembedahan itu untuk tindakan seterusnya termasuk menggunakan saluran undang-undang terhadap doktor yang didakwa cuai semasa pembedahan awal. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain