suria

Pesakit Pemindahan Jantung Mula Makan Hari Ini

KUALA LUMPUR: Surirumah Tan Geek Koon, pesakit pemindahan jantung terbaru di negara, telah mula makan tiga hari lepas setelah menjalani pembedahan itu dengan menerima organ daripada seorang remaja lelaki yang meningggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Ipoh, Perak.

Ketua Bedah Kardiotorasik Institut Jantung Negara (IJN) Datuk Dr Mohd Azhari Yakub berkata ibu kepada empat orang anak, berumur 41 tahun itu, kini dalam keadaan stabil setelah menjalani pembedahan tersebut pada Selasa lepas.

"Puan Tan masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk melindungi beliau daripada sebarang jangkitan. Sejak dua hari lepas, beliau telah pulih dengan baik seperti yang kita mahukan dan hari ini, beliau boleh duduk dan makan," katanya kepada pemberita di IJN di sini hari ini.

Beliau juga membacakan SMS daripada keluarga Tan yang sangat berterima kasih.

SMS itu berbunyi: "Kita ingin melahirkan penghargaan kepada keluarga penderma itu. Tidak ada perkataan yang boleh menggambarkan perasaan kami. Sebagai penganut agama Buddha, kami doakan agar rohnya mencapai Nirvana, kita doakan agar penderma itu selamat. Sila sampaikan penghargaan kami kepada keluarga tersebut."

Dr Mohd Azhari juga mengucapkan terima kasih kepada keluarga penderma jantung itu yang diterbangkan ke sini dengan helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

"IJN ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga penderma kerana memberikan hadiah yang sangat berharga bagi membantu. Penderma itu seorang remaja berusia 17 tahun dari Kampar, Perak yang otaknya diisytiharkan tidak berfungsi lagi akibat kemalangan itu di Ipoh Isnin lepas, kata beliau.

Katanya pembedahan selama tujuh jam itu, termasuk mengeluarkan alat jantung mesin yang digunakan Tan sejak November tahun lepas, dilakukan dengar lancar dan Tan sedar sepenuhnya pada Rabu lepas.

Pasukan pembedahan itu diketuai Dr Mohd Azhari dan Pakar Bedah Kardiotorasik Dr Mohd Nazeri Nordin, pakar-pakar lain dan 25 kakitangan perubatan lain termasuk lapan dari Hospital Ipoh.

Jantung Tan gagal berfungsi setelah melahirkan anak keempatnya.

Dr Mohd Azhari berkata IJN telah melakukan 20 pembedahan pemindahan jantung kepada 19 pesakit sejak 1997 dan lapan lagi pesakit masih menunggu untuk jantung didermakan.

Antaranya Chen Winnie, 24, yang kini memasuki peringkat kritikal kerana jantung mesinnya akan berhenti berfungsi pada April tahun depan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

2009 Penuh Cabaran Bagi SPRM

Artikel Lain