suria

MPAJ Tingatkan Pemantauan Cerun

KUALA LUMPUR: Majlis Perbandaran Ampang Jaya sedang meningkatkan pemantauan kawasan bercerun di seluruh daerah itu ekoran keadaan cuaca yang tidak menentu dan hujan yang berpanjangan sejak kebelakangan ini.

Pegawai Perhubungan Awamnya Norhayati Ahmad berkata MPAJ mewujudkan pasukan petugas khas pemantauan cerun khusus bagi memantau dan menjalankan kajian kestabilan cerun serta melaksanakan penyelenggarakan struktur cerun-cerun semulajadi mahupun buatan.

Beliau berkata orang ramai yang tinggal berhampiran kawasan cerun perlu sentiasa berhatihati dan melaksanakan pelbagai langkah keselamatan atau pemantauan secara berterusan.

"Mereka perlu menyedari tanggungjawab untuk melaksanakan langkah pencegahan dan penyelenggaraan cerun, seperti mewujudkan program 'Slope watch' sebagaimana yang ditubuhkan Persatuan Penduduk Bukit Antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya MPAJ mendapat kerjasama dan bantuan khidmat teknikal daripada pihak pakar seperti Jabatan Kerja Raya (Cerun), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPs) dan Kumpulan IKRAM Sdn Bhd bagi memantau kawasan cerun berisiko.

Norhayati berkata selain penduduk, pemilik tanah juga perlu sedar tanggungjawab mereka untuk memeriksa kestabilan cerun serta penyelenggaraan cerun dalam kawasan mereka dan persekitarannya.

Beliau berkata MPAJ akan mengambil tindakan sekiranya pemilik tanah gagal menyelenggara tanah kepunyaan mereka dengan sempurna.

"Majlis akan turut memastikan sistem perparitan yang terdapat di sekitar kawasan cerun seperti 'berm drain', Interceptor drain' dan 'toe drain' diselenggarakan dengan baik agar air dari permukaan atas kawasan cerun dapat mengalir dengan sempurna," katanya.

Selain itu katanya penduduk juga boleh memanjangkan sebarang masalah atau aduan dengan menghubungi hotline MPAJ dengan menelefon 03-42968100 atau talian Bencana Alam 03-42809050 yang beroperasi 24 jam. BERNAMA

Artikel Lain