suria

Tindakan Pemimpin DAP Pijak Poster Terus Dikritik

KUALA LUMPUR: Beberapa Anggota Parlimen terus membidas tiga pemimpin DAP termasuk penasihatnya Lim Kit Siang yang memijak poster tiga anggota Bebas Dewan Undangan Negeri Perak pada Ahad lepas. Ismail Mohamed Said (BNKuala Krau) berkata Lim yang juga anggota parlimen Ipoh Timur sepatutnya menunjukkan contoh yang baik serta memberikan nasihat kepada anggota-anggota parti.

"Saya cukup kecewa dengan Ipoh Timur kerana sebagai orang lama yang saya hormati selama ini, yang bukan lagi guru, tapi tok guru, mahaguru yang setaraf dengan Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat, daripada segi pengalaman politiknya, telah terikutikut dengan (sikap) anggotaanggota Parlimen yang baru nak masuk politik," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2010 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pelancongan di sini.

Beliau berkata perbuatan pemimpin DAP itu boleh menjejaskan kedatangan pelancong ke negara ini kerana dikhuatiri mereka menganggap Malaysia berdepan dengan masalah ketidakstabilan politik.

Ismail memuji pelbagai usaha yang dilaksanakan Kementerian Pelancongan untuk menarik minat pelancong berkunjung ke negara ini meskipun dalam keadaan ekonomi yang merosot.

Datuk Mohamad Aziz (BNSeri Gading), yang mencelah perbahasan itu, berkata tindakan memijak poster itu boleh mengheret kepada pelbagai masalah lain dan boleh mencetuskan api perkauman.

Ismail Abdul Muttalib (BNMaran) pula meminta semua Anggota Parlimen supaya lebih berhati-hati dengan perbuatan masing-masing.

"Kadang-kadang perangai kita lagi teruk. Kita tahu untuk menarik pelancong, mesti sedia destinasi yang baik, kemudian ada budaya yang baik termasuklah tingkah laku dan sebagainya," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain