suria

Universiti Perlu Pasar Produk Inovasi Sendiri, Kata Khaled

KUALA LUMPUR: Institusi pengajian tinggi tempatan perlu mempunyai kemampuan untuk memasar serta mempromosi hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) sendiri bagi memastikan inovasi yang dicipta tidak hanya terperap di dalam universiti semata-mata.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata universiti kini tidak boleh menunggu pihak industri untuk mencari hasil ciptaan mereka, sebaliknya perlu bertindak proaktif dengan keluar mencari pemain industri berkaitan dan memasarkan produk kreatif dan inovasi sendiri.

"Saya tidak kata ahli akademik itu perlu keluar memasarkan sendiri produk yang dihasilkan, tetapi universiti perlu ada mekanismanya sendiri untuk melaksanakan perkara itu," katanya.

Beliau yang ditemui pemberita selepas merasmikan Terowong Angin Berkuasa Rendah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini hari ini berkata, langkah itu juga menjadi asas dalam menjayakan matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berasaskan ekonomi inovasi.

Katanya Malaysia tidak mempunyai pilihan selain bertukar kepada ekonomi berasaskan inovasi bagi menjamin pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi bagi memastikan negara tidak selamanya terperangkap sebagai sebuah negara berpendapatan sederhana.

Terdahulu dalam ucapannya pada majlis itu Mohammed Khaled memuji kejayaan projek terowong angin universiti yang bernilai RM10 juta itu, yang dianggapnya sebagai infrastruktur intelektual cukup bernilai yang dimiliki universiti berkenaan, dan ia boleh menyokong aktiviti akademik serta penyelidikannya.

"Makmal kelas dunia seumpama ini akan dapat membantu dalam menjana agenda pengajian tinggi tinggi negara ke peringkat lebih tinggi, adalah menjadi harapan saya agar ia dapat membantu dalam memberikan kelebihan yang kompetetif di kalangan graduan UIAM," katanya.

Terowong angin terbesar di Malaysia itu merupakan projek yang dibangunkan oleh pelajar Kejuruteraan UIAM yang amat berfaedah bagi program-program kejuruteraan aeroangkasa dan automatif, penyelidikan aerodinamik dan pembangunan produk berkaitan aerodinamik. BERNAMA

Artikel Lain