88 Individu Ditangkap, 39 Didakwa, Lima Disabit Pemerdagangan - Semasa | mStar

88 Individu Ditangkap, 39 Didakwa, Lima Disabit Pemerdagangan

KUALA LUMPUR: Sejak Akta Anti-pemerdagangan Orang 2007 dikuatkuasakan, seramai 88 individu ditangkap dan 39 didakwa di mahkamah atas kesalahan berkaitan manakala lima orang telah disabitkan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, pihak berkuasa juga telah menjalankan siasatan ke atas dakwaan berkaitan penglibatan penjawat awam dalam pemerdagangan pelarian Myanmar.

"Sehingga kini terdapat satu kes pendakwaan berkaitan dengan isu ini," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Lim Lip Eng (DAPSegambut) di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Lim mahu Menteri Dalam Negeri menyatakan hasil yang dicapai dan jumlah tangkapan serta dakwaan mahkamah dibuat untuk mengelakkan Malaysia disenaraikan lagi oleh negara asing sebagai sebuah negara yang giat dalam memperdagangkan dan penyeludupan manusia.

Hishammuddin berkata kerajaan memandang serius jenayah pemerdagangan orang dan menghargai keprihatinan anggota Parlimen dalam menangani isu ini dan terhadap imej Malaysia yang diturun taraf kepada Tier 3 dalam Laporan Amerika Syarikat mengenai Pemerdagangan Orang 2009.

Beliau berkata kesungguhan Malaysia menangani isu itu telah dimanifestasikan dengan mewujudkan akta berkenaan yang diluluskan pada 24 April 2007 dan berkuatkuasa sepenuhnya mulai Februari 2008.

Katanya, Jabatan Peguam Negara juga telah mengarahkan supaya kes-kes berkaitan warga asing kecuali kesalahan-kesalahan jenayah yang jelas di bawah akta-akta lain seperti bunuh dan mengedar dadah, disiasat terlebih dahulu di bawah Akta Anti-pemerdagangan Orang.

Untuk mempergiat usaha memerangi jenayah ini, Hishammuddin berkata Majlis Anti-pemerdagangan Orang telah melaksanakan beberapa dasar dan mengambil beberapa inisiatif.

Antaranya mewujudkan Pelan Tindakan Strategi Anti-pemerdagangan Orang Nasional yang menggariskan tindakan yang akan diambil dalam tempoh lima tahun bagi memantapkan penguatkuasaan dan pelaksanaan usaha membanteras pemerdagangan orang di Malaysia.

Selain itu, katanya, kerajaan mewujudkan jaringan kerjasama dari segi perkongsian dan pertukaran maklumat serta risikan antara agensi-agensi penguatkuasa di peringkat serantau dan antarabangsa. "Dalam konteks antarabangsa juga, saya ingin menegaskan bahawa isu pelarian Myanmar khususnya Rohingya bukanlah masalah yang boleh ditangani sendiri oleh Malaysia kerana ia merupakan isu serantau dan antarabangsa.

"Ini telah dipersetujui oleh Mesyuarat Proses Bali peringkat menteri pada Mac 2009. Isu ini harus ditangani dengan teliti dengan menyelesaikan punca sebanrnya," katanya.

Hishammuddin berkata Malaysia juga akan memperhebatkan operasi laut dari segi pemantauan dan penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Polis Marin di semua laluan yang sering digunakan untuk tujuan kegiatan penyeludupan manusia.

"Bagi mengatasi kelemahan dan kekaburan yang terkandung dalam peruntukan Akta Anti-pemerdagangan Orang 2007, Jawatankuasa Perundangan yang diketuai Jabatan Peguam Negara sedang mengkaji semula dan merangka pindaan ke atas akta ini dalam aspek perundangan, penguatkuasaan dan perlindungan mangsa," katanya.

Antara aspek penting yang turut dikaji adalah cadangan untuk memasukkan kesalahan penyeludupan manusia ke dalam akta ini, katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

default image

Jom kongsi idea! Penduduk bandar diajak beri maklum balas draf Pelan Pembangunan KL

TRAJEKTORI perumahan dan komersial Kuala Lumpur diberikan perhatian dengan mendraf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 (PPKL 2040).

default image

UMP terajui usaha perkasa TVET di negara ini

SELEPAS 17 tahun ditubuhkan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini merupakan salah satu universiti utama di negara ini yang menawarkan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di peringkat tinggi.

default image

Jom bantu bayar balik pinjaman PTPTN pekerja! Pelepasan cukai antara 7 kelebihan untuk dinikmati majikan

HUBUNGAN majikan dan pekerja ibarat irama dan lagu, kedua-duanya saling memerlukan antara satu sama lain demi kelangsungan operasi syarikat.

default image

WKB 2030: Ke arah masa depan rakyat dan negara yang lebih cerah

WAWASAN ini menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati bersama tanpa mengabaikan tanggungjawab membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin.

Artikel Lain