suria

Lelaki Ditahan Guris Gambar Sultan Perak

IPOH: Polis menahan seorang lelaki dipercayai terbabit menguris gambar Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di bangunan Perak Turf Club, di sini dua hari lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Azisman Alias berkata lelaki berusia 40 tahun itu ditahan hasil maklumat daripada pengawal keselamatan di kelab tersebut selepas menyedari kejadian itu.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 10 malam dan lelaki berkenaan ditahan di rumahnya di sini dua jam kemudian, katanya ketika dihubungi hari ini.

Azisman berkata lelaki itu ditahan reman lima hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 425 iaitu khianat merosakkan harta awam.

"Kita belum mengetahui motif perbuatan lelaki itu menguris dan merosakkan gambar Sultan dan ketika kejadian lelaki itu baru keluar dari kelab karaoke dan mabuk," katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, polis menahan lima remaja berusia 15 hingga 18 tahun di bandaraya ini dipercayai terbabit dalam kegiatan samun.

Azisman berkata lima lelaki itu ditahan dalam sebuah kereta Perodua Kembara yang ketika itu didapati dalam keadaan mencurigakan di kawasan Medan Ipoh Bestari, pada pukul 2 pagi, lima hari lepas.

Selepas menyedari kehadiran polis, kereta yang dipandu seorang daripada remaja berkenaan melarikan diri dan mereka berjaya ditahan sejam kemudian selepas berlaku kejar mengejar, katanya.

Katanya setelah pemeriksaan dijalankan didapati kesemua lelaki itu terlibat dalam beberapa siri kejadian samun awal pagi di sekitar kawasan bandaraya ini.

Polis turut merampas beberapa barangan di dalam kereta tersebut iaitu sebilah pisau panjang, dua batang rotan, sebatang kayu hoki, sepasang sarung tangan hitam dan beberapa telefon bimbit.

Siasatan awal polis telah mengenalpasti sebanyak tiga kes samun dilakukan oleh remaja terbabit di kawasan Sungai Senam, Ampang Baru dan Tambun yang berlaku antara pukul 5 pagi hingga 7 pagi.

Kesemua remaja ditahan reman selama enam hari dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan. BERNAMA

Artikel Lain