suria

Polis Tahan 7 Disyaki Dalang Sindiket Culik

KUALA LUMPUR: Polis menahan tujuh suspek yang dipercayai mendalangi satu sindiket penculikan dan menyelamatkan tiga lelaki warga Bangladesh yang menjadi mangsa sindiket itu dalam dua serbuan di Bandar Sunway dekat sini dan Cameron Highlands, Pahang.

Dua daripada suspek itu ialah seorang lelaki Bangladesh dan seorang wanita warga Indonesia yang ditahan di sebuah unit Pangsapuri Lagoon Perdana di Bandar Sunway petang ini sebelum keduadua mangsa culik itu dibebaskan daripada kurungan di sebuah rumah di kawasan yang sama.

Mangsa yang dikenali sebagai Md Munif, 30, dan Abu Hanif, 38, ditemui dalam keadaan tidak bermaya kira-kira pukul 1.15 tengah hari akibat dipukul serta diikat tangan dan kakinya dengan rantai besi.

Ketika ditemui pemberita di tempat kejadian, mereka berkata mereka hanya diberi sedikit makanan sebanyak dua kali sehari dan selepas itu mulut mereka ditampal dengan pita pelekat agar tidak dapat menjerit meminta pertolongan.

Suspek turut memaksa mangsa menghubungi keluarga mereka di kampung halaman agar memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun suspek sebagai syarat untuk dilepaskan, namun selepas hampir RM32,500 dimasukkan ke dalam akaun, tiada tanda mangsa akan dibebaskan.

Difahamkan, mangsa juga akan dipukul dan didera jika tuntutan mereka tidak dipenuhi atau keluarga mereka terlewat memasukkan wang ke dalam akaun.

Mereka kemudiannya diselamatkan setelah rakan mereka yang menjadi perantara membuat laporan polis berhubung perkara itu pada 5 Nov setelah tidak tahan lagi dengan perbuatan suspek.

Polis turut menemui beberapa senjata seperti parang dan pisau di dalam rumah itu yang dipercayai digunakan untuk mengugut mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wan ketika dihubungi mengesahkan bahawa polis membuat serbuan ke premis berkenaan dan menahan pasangan itu.

"Serbuan yang dilakukan pegawai dan anggota daripada cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur selepas menerima dua laporan kehilangannya pada 5 dan 6 November lalu di Brickfields dan Putra Perdana.

"Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 3 (3) Akta Culik 1961," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Ku berkata kes penculikan yang membabitkan warga Bangladesh itu bukan yang pertama berlaku kerana pada Selasa lepas polis turut menahan lima suspek, empat warga Bangladesh dan seorang Indonesia, di Cameron Highlands berhubung kes penculikan seorang lelaki Bangladesh di hadapan Plaza Kotaraya, Jln Cheng Loke, dekat sini pada 8 Nov lalu.

"Kesemua suspek berusia antara 25 hingga 30 tahun ditahan selepas menerima pembayaran sebanyak RM25,000 daripada keluarga mangsa di kawasan Ringlet, Cameron Highlands.

"Bagaimanapun, mangsa diselamatkan di kawasan kebun sayur berdekatan," katanya. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik. BERNAMA

Artikel Lain