suria

Dua mati dibelasah pekerja pasar borong ketika cuba merompak

KUALA LUMPUR: Sekumpulan lapan lelaki yang cuba merompak seorang peniaga menerima padah apabila dua daripada mereka mati selepas dibelasah kira-kira 50 warga Myanmar di Pasar Borong Selayang di sini, malam semalam.

Dalam kejadian 7.45 malam itu, sekumpulan lelaki yang menaiki dua kereta cuba merompak seorang peniaga di pasar borong itu dengan seorang daripada mereka turun daripada kenderaan dan memukul belakang kepala mangsa menggunakan parang.

Sebelum itu, mangsa yang berumur dalam lingkungan 30-an dilanggar kereta suspek sebelum dirompak.

Melihat kejadian itu, sekumpulan pekerja pasar borong dipercayai warga Myanmar, cuba membantu mangsa dengan mengejar suspek dengan bersenjatakan parang, besi dan kayu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Khairi Ahrasa berkata, suspek yang menaiki Proton Waja dan sebuah pikap cuba melarikan diri, bagaimanapun, kereta pikap itu terbabas lalu merempuh sebuah restoran.

"Keadaan itu menyebabkan dua daripada suspek gagal melarikan diri dan dibelasah teruk oleh pekerja pasar borong.

"Seorang mangsa yang berumur 19 tahun mati di tempat kejadian manakala seorang lagi mangsa yang cedera parah ditemui 20 meter dari tempat kejadian, namun dia mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Selayang," katanya.

Manakala mangsa cubaan merompak yang cedera, turut menerima rawatan di Hospital Selayang.

Beliau berkata identiti mangsa belum dikenalpasti dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh, dan Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dan menggunakan senjata berbahaya.

Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat.

Berikutan kejadian itu, polis menahan seorang suspek untuk siasatan lanjut dan meminta bantuan orang awam yang menyaksikan kejadian berkenaan atau terlibat secara langsung, tampil memberi maklumat di balai polis berdekatan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain