suria

Nadzmi Salleh diserang angin ahmar ringan di India

CHENNAI: Pengerusi Proton Holdings Bhd (Proton), Datuk Nadzmi Mohd Salleh dimasukkan ke Hospital Apollo di sini akibat serangan angin ahmar ringan awal pagi ini dan bukannya akibat serangan jantung seperti yang dilaporkan dalam berita sebelum ini.

Beliau mengadu sakit dada ketika mendaftar masuk ke hotel penginapannya, Hotel Coromandel, sebelum dikejarkan ke hospital.

Nadzmi, yang sebelum itu ditempatkan di wad Unit Rawatan Rapi (ICU), kini sudah dipindahkan ke wad biasa.

Keadaannya dilaporkan stabil.

Nadzmi, 55, yang tiba dari Kuala Lumpur berada di India, bagi mengikuti delegasi perdagangan dan pelaburan Malaysia yang diketuai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed.

Ketua Pegawai Eksekutif My Event International Shahul Hameed Dawood, yang membawa Nadzmi ke hospital berkata, Nadzmi mengalami serangan angin ahmar ringan di sebelah kanan badan.

Shahul Hameed berkata beliau dimaklumkan doktor bahawa Nadzmi mungkin perlu ditahan di hospital selama dua atau tiga hari untuk rawatan.

"Beliau agak bernasib baik, jika dibiarkan beberapa jam (keadaan) dia boleh menjadi lebih serius," kata Shahul Hameed yang merupakan anggota delegasi itu.

Mustapa melawat Nadzmi, yang ketika itu ditempatkan di dalam wad Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu, pada kirakira pukul 2.30 petang (waktu tempatan).

Nadzmi juga merupakan Presiden Persatuan Badminton Malaysia dan Pengerusi Eksekutif Nadicorp Holdings Sdn Bhd. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain