suria

Deklarasi Gerakan mendokong Perlembagaan Persekutuan

KUALA LUMPUR: Gerakan melalui Deklarasi Persidangan Perwakilan Nasional ke-38 parti itu pada Ahad, mendukung Perlembagaan Persekutuan yang melindungi hak-hak semua rakyat Malaysia.

Deklarasi itu juga menetapkan prinsip-prinsip asas Rukun Negara sebagai Falsafah Nasional Malaysia menjadi panduan dalam proses pembinaan negara yang berbilang kaum.

Anggota persidangan turut menyatakan sokongan penuh terhadap konsep 1Malaysia dan Inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Nasional serta Bidang Keberhasilan Utama Kementerian untuk menggerakkan prestasi negara.

Bagi memartabatkan hak-hak asasi manusia dan demokrasi, Gerakan, seperti tahun-tahun sebelumnya, menggesa supaya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan undang-undang penindasan seperti Akta Percetakan dan Penerbitan 1984 disemak, dirombak semula atau dimansuhkan.

Selain itu, deklarasi itu turut menggariskan isu-isu yang menjadi kebimbangan rakyat pada masa kini, seperti impak krisis kewangan global, kualiti sistem pendidikan, jenayah yang semakin berleluasa dan perubahan iklim serta kesannya terhadap alam sekitar, agar diberi perhatian lebih serius oleh kerajaan pusat.

Dalam perkembangan lain, cadangan pindaan perlembagaan parti itu, yang diluluskan sebulat suara, akan melancarkan lagi proses penamaan calon untuk pilihan raya dan pelantikan jawatan dalam parti itu.

Pindaan itu juga memberi ruang yang lebih kepada semua anggota parti untuk mengetuai atau menjadi ahli jawatankuasa bagi biro-biro, di samping memudahkan penubuhan cawangan di sesuatu kawasan.

Selain itu, pindaan yang melibatkan Artikel 36 pula akan membuka ruang yang lebih luas kepada anggota sayap, Pemuda atau Wanita, untuk dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Agung dan Timbalan Bendahari Nasional. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain