suria

Duchess of Kent Sandakan hospital pertama Sabah perkenal perubatan alternatif

SANDAKAN: Hospital Duchess of Kent Sandakan di sini akan menjadi hospital pertama di Sabah yang memperkenalkan Rawatan Akupuntur dan Perkhidmatan Urutan.

Pengarahnya, Dr Zorina Khalid berkata, perkhidmatan perubatan tradisional itu dijangka diperkenalkan di hospital itu mulai Januari tahun depan.

Katanya kerja-kerja pengubahsuaian bangunan untuk dijadikan tempat pusat rawatan itu sedang dilaksanakan dan juga terletak dalam kawasan hospital.

"Selain penggunaan ubat penahan sakit, rawatan tradisional juga mampu meringankan beban kesakitan yang dialami oleh pesakit," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan ke11 Klinikal Negeri Sabah di sini hari ini.

Persidangan tiga hari itu yang bermula semalam dirasmikan oleh Pengarah Bahagian Pengembangan Perubatan Kementerian Kesihatan Datuk Dr Azmi Shapie. Pada masa sekarang, hanya terdapat tiga hospital yang menawarkan perkhidmatan tersebut iaitu di Kepala Batas Pulau Pinang, Putrajaya dan Johor Baharu.

Dr Zorina berkata, pihak Kementerian Kesihatan telah mengadakan uji kaji terhadap kaedah perubatan itu dan memberi jaminan ia selamat digunakan untuk merawat pesakit.

Beliau berkata, sekiranya terdapat kaedah lain bagi rawatan tradisional, Kementerian Kesihatan akan menjalankan uji kaji terlebih dahulu bagi memastikan tahap keberkesanan dan keselamatannya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain