suria

Pairin menang tanpa bertanding jawatan Presiden PBS

KOTA KINABALU: Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan mengekalkan jawatannya sebagai Presiden Parti Bersatu Sabah (PBs) untuk tempoh tiga tahun lagi selepas diisytiharkan menang tanpa bertanding apabila menerima 55 pencalonan daripada 60 bahagian parti itu di Sabah.

Mengumumkan keputusan itu hari ini, Ketua Penerangan PBS Johnny Mositun berkata pencalonan tidak diterima daripada lima bahagian kerana mereka tidak dapat mengadakan mesyuarat perwakilan tahunan untuk tahun ini.

Juga kekal tanpa bertanding adalah dua timbalan presiden, Datuk Dr Maximus Ongkili bagi kuota Bumiputera bukan Islam dan Dr Yee Moh Chai yang mewakili anggota Cina dalam parti itu.

Mositun berkata bagaimanapun bagi jawatan timbalan presiden untuk kuota anggota Islam akan menyaksikan pertandingan selepas penyandang A. K. Aliudin, Naib Presiden Rakam Sijim, Ketua Pemuda Datuk Jahid Jahim dan anggota Majlis Tertinggi Almudin Kaida menerima pencalonan yang cukup untuk melayakkan mereka bertanding jawatan itu.

Beliau berkata Jahid juga dicalonkan untuk jawatan ketua pemuda, yang membuka ruang kepada pertandingan satu lawan satu dengan Timbalan Bendahari yang juga Ketua Bahagian Liawan, Jake Nointin.

"Jahid hanya boleh bertanding satu jawatan, jadi beliau kena buat keputusan selewat-lewatnya 27 Okt iaitu tarikh tutup untuk menerima pencalonan. Kami akan mengetahui calon-calon bertanding pada 28 Okt," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka merasmikan kongres PBS, yang diadakan tiga tahun sekali, pada 7 Nov depan. BERNAMA

Artikel Lain