suria

Bekas isteri Roslin fail notis bantahan terhadap tuntutan ganti rugi

Faizah hadir bersama dua abangnya serta isteri masing-masing serta peguamnya, Mohd. Amir Nazli Hussin. -Foto THE STAR oleh ABDUL RAHMAN SENIN
Faizah hadir bersama dua abangnya serta isteri masing-masing serta peguamnya, Mohd. Amir Nazli Hussin. -Foto THE STAR oleh ABDUL RAHMAN SENIN
Faizah hadir bersama dua abangnya serta isteri masing-masing serta peguamnya, Mohd. Amir Nazli Hussin. -Foto THE STAR oleh ABDUL RAHMAN SENIN

KUALA LUMPUR: Bekas isteri pemain badminton negara Roslin Hashim memfailkan notis bantahan awal di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah berhubung tuntutan ganti rugi perkahwinan Roslin melebihi RM50,000 termasuk mas kahwin berjumlah RM15,000.

Prosiding hari ini merupakan sebutan kali pertama kes tuntutan ganti rugi tersebut di depan Pendaftar Mahkamah di bawah Seksyen 46.

Faizah Mohamad, 32, hadir bersama dua abangnya, iaitu Zaidi Mohamad, 36; Zulkifli Mohamad, 35 serta isteri masing-masing serta peguamnya, Mohd. Amir Nazli Hussin. Faizah berpakaian baju kurung dan tudung warna merah.

Manakala Roslin yang berpakaian baju kemeja coklat tiba bersama peguamnya, Roslizam Rahim. Roslin juga berambut panjang mencecah bahu.

Ketika ditemui di luar pejabat pendaftar mahkamah, Roslizam berkata, pihak defendan (Faizah) berhasrat memfailkan notis bantahan awal dan mahkamah mengarahkan Faizah untuk mengemukakan notis bantahan awal berserta hujahan pada 20 November ini.

"Alasan-alasan bantahan mereka bagaimanapun tidak disertakan. Roslin pula diarah menjawab balik notis bantahan awal pihak defendan dalam tempoh 14 hari bermula dari tarikh tersebut (20 November).

"Mahkamah tetapkan kami memfailkan hujahan bantahan secara bertulis dan jawapan bertulis pada 11 Disember ini. Lepas itu baru mahkamah buat keputusan terhadap notis bantahan awal tersebut pada 21 Disember ini," kata Roslizam.

Sementara itu, Roslin akur dengan bantahan yang dikemukakan oleh bekas isterinya hari ini kerana itu adalah haknya sebagai defendan dalam kes ini.

Roslin enggan mengulas mengenai apakah tuntutan-tuntutan ganti rugi yang tersenarai dalam penyata tuntutan.

Perkahwinan Roslin dan Faizah telah menimbulkan kontroversi apabila Roslin mengaku melafazkan cerai terhadap isterinya selepas 12 hari mereka bernikah dan menyatakan tiada persetubuhan berlaku antara mereka berdua sepanjang perkahwinan.

Berikutan itu, Faizah telah memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya manakala Roslin juga berbuat demikian di Mahkamah Rendah Syariah yang sama.

Roslin dan Faizah telah bercerai secara talak 'Bain Sughra' dengan satu talak pada 12 Mei lalu.

Talak 'Bain Sughra' adalah talak yang telah diucapkan oleh suami kurang daripada tiga kali tetapi pasangan tidak boleh rujuk semula melainkan dengan pernikahan yang baru walaupun isterinya di dalam edah.

Kemudian, Roslin mengemukakan saman RM50,000 terhadap bekas isteri yang dikahwininya 12 hari sebagai tuntutan ganti rugi terhadap belanja dan kos perkahwinan yang dikeluarkan sebelum ini.

Namun, saman berkenaan hanya akan difailkan sejurus dia memperolehi surat pembatalan pernikahan yang ketika itu lewat dikeluarkan Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya.

Roslin dan Faizah mula berkenalan sejak Hari Raya Haji pada tahun 2005 di rumah Raja Azmi.

Selepas ditunangkan pada 1 November tahun lalu, Faizah mula rapat dengan Roslin dan mula keluar berdua sebelum bernikah pada 30 Januari lalu.

Sementara itu, peguam Faizah, Mohd Amir berkata, pihaknya akan memfailkan satu notis bantahan awal untuk memperincikan sebab-sebab mengapa permohonan Roslin itu wajar ditolak.

Jelas Mohd Amir, sebab-sebab yang akan dikemukakan itu sama ada permohonan Roslin itu mempunyai locus standi (sah) atau tidak dalam tuntutan beliau.

"Bagi saya, permohonan plaintif adalah sesuatu yang tidak munasabah dan sesuatu yang tidak bermaruah," katanya.

Setakat ini, kata Mohd Amir, beliau tidak boleh menyatakan secara terperinci tuntutan Roslin kerana segala-gala terkandung dalam tuntutan plaintif.

"Sebelum ini, plaintif gembar-gemburkan tuntutan melebihi RM50,000. Hari ini, saya nak katakan jumlah sebenar yang dituntut oleh plaintif adalah berdasarkan penyata tuntutan adalah sebanyak RM53,460. Itulah junlah keseluruhannya," katanya.

Dalam pada itu, Faizah ketika ditemui wartawan menyifatkan tuntutan ganti rugi Roslin itu sebagai 'tidak munasabah sebagai seorang lelaki'.

"Tuntutannya (Roslin) seolah-olah tidak bermaruah kerana benda-benda tersebut tidak sepatutnya dituntut. Misalnya hantaran belanja kahwin, kos mengadakan kenduri di pihak rumahnya dan lain-lain yang disenaraikannya.

"Sebagai seorang lelaki dan seorang yang pernah bergelar suami, tindakannya macam tak bermaruahlah. Dia tuntut benda yang remeh-temeh. Saya pun tak fahamlah apa erti perkahwinan sebenarnya kepada dirinya sendiri," luah Faizah dengan nada kecewa.

Pada masa inilah, abang sulung Faizah yang bernama Zaidi mencelah: "Saya tanya kepada saudara. Kalau saudara buat kenduri dan bercerai macam kes ini, kamu minta kos kenduri kat rumah kamu dengan kami. Munasabah tak? Saya kena bayar kenduri kamu.

"Padahal, siapa pula yang bayar kos kenduri di rumah kami sendiri? Kos pengangkutan rombongan mereka datang dari rumahnya ke rumah kami untuk melamar Faizah pun perlu kami bayar. Munasabah ke tak munasabah? Siapa pula yang tanggung kos pengangkutan rombongan kami ke rumahnya?" soal Zaidi.

Tambah Zaidi, Roslin menuntut sebanyak RM10,000 untuk kos kenduri di sebelah pihaknya, kos pengangkutan kapal terbang untuk suami-isteri sebanyak RM500.

Faizah memberitahu, itu adalah antara satu tuntutan kos ganti rugi Roslin yang dianggap melampau. "Bila kami tengok penyata tuntutan pada mulanya kami nak ketawa... Kenapa dia nak buat macam ini?

"Apa ini? Seolah-olah tuntutan RM50m,000 itu dia senaraikan benda yang bukan-bukan untuk mencukupkan jumlah tuntutan sebanyak RM 50,000 itu," katanya.

Artikel Lain