suria

Cuti 16 Sept sempena "Hari Malaysia" disambut baik

KOTA KINABALU: Pengumuman cuti umum bagi seluruh negara sempena Hari Malaysia yang diraikan pada 16 Sept setiap tahun disambut baik oleh kalangan pemimpin serta masyarakat di Sabah dan Sarawak.

Ketika mengumumkan perkara itu di Dewan Rakyat semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat merupakan satu titik sejarah yang amat penting.

Hari Malaysia akan dirayakan dengan acaraacara bersifat mengeratkan perpaduan, persefahaman antara kaum, kejayaan dan pencapaian masyarakat menerusi bidang sukan, sosiobudaya, kesenian dan lain-lain yang akan menyemarakkan semangat 1Malaysia, kata Najib.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata pengiktirafan tinggi oleh Perdana Menteri yang mengisytiharkan 16 Sept sebagai cuti umum amat signifikan bagi menggambarkan bahawa gagasan 1Malaysia telah lama dihayati dan menjadi amalan rakyat Sabah selama ini.

"Sesungguhnya, 16 Sept merupakan peristiwa yang amat bersejarah bagi rakyat negeri ini. Ini kerana, pada tarikh keramat tersebut, rakyat Sabah daripada pelbagai kaum dan etnik bersatu dan sepakat mencapai kemerdekaan menerusi pembentukan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

Musa berkata pengumuman itu pasti akan mencetuskan semangat dan iltizam kerajaan negeri dan rakyat Sabah untuk terus mengukuhkan perpaduan dan rasa kekitaan sebagai pemangkin bagi memacu kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat, sesuai dengan aspirasi gagasan 1Malaysia.

Timbalan Ketua Menteri dan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBs) Datuk Joseph Pairin Kitingan pula berkata pengumuman Najib itu menunjukkan kesungguhan Perdana Menteri untuk merealisasikan aspirasi gagasan 1Malaysia iaitu perpaduan nasional.

"Beliau (Najib) benar-benar ingin mewujudkan satu keluarga Malaysia dengan slogan 1Malaysia, sekali gus mengikis perasaan adanya keadaan 'neokolonialisasi' selama ini," katanya.

Pairin berkata pengumuman Perdana Menteri itu telah menyelesaikan satu perkara yang amat penting iaitu mewujudkan patriotisme dan semangat cinta kasih sayang di kalangan rakyat kepada Malaysia.

"Setelah pengumuman ini dibuat sebagai satu ketetapan, kita dalam PBS dan sebagai anggota dalam Barisan Nasional akan lebih bersemangat lagi berusaha ke arah mencapai Wawasan 2020, dan ke arah pengwujudan satu keluarga yang merasakan bahawa negara Malaysia adalah negara kita bersama," katanya.

Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk VK Liew berkata pengisytiharan cuti umum itu merupakan penghargaan yang sangat besar kepada Sabah dan Sarawak.

"Topik ini telah menjadi perbahasan hangat sejak pembentukan Malaysia pada 16 Sept, 1963. Malaysia barat dan timur kini menjadi satu dan ini menggambarkan kesungguhan serta keikhlasan Perdana Menteri dalam menjalin keharmonian hubungan antara kita tanpa melihat perbezaan warna kulit," katanya.

Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRs) Tan Sri Joseph Kurup berkata parti itu menyambut baik pengisytiharan 16 Sept sebagai cuti umum sempena Hari Malaysia.

"Langkah ini sesungguhnya memberikan pengiktirafan kepada hakikat bahawa 16 Sept merupakan hari pembentukan Malaysia dengan turut disertai oleh Sabah dan Sarawak. Ini sememangnya dinanti-nantikan oleh Sabah dan Sarawak selama hampir 46 tahun," katanya.

Kurup berkata dengan pengumuman itu, penduduk di Sabah dan Sarawak digesa supaya benar-benar menerapkan perasaan sebagai rakyat Malaysia nan satu, meskipun jauh dipisahkan oleh Laut China Selatan.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Tanah Sarawak Datuk Seri Dr James Masing berkata telah tiba masanya 16 Sept diiktiraf sebagai cuti umum memandangkan tarikh itu sama pentingnya dengan Hari Kemerdekaan, yang diraikan pada 31 Ogos setiap tahun.

"Saya amat berterima kasih kepada Perdana Menteri memandangkan 16 Sept merupakan hari yang sangat penting bagi penduduk Sarawak dan Sabah serta Semenanjung sejak 46 tahun lepas," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata ketika merasmikan sambutan Hari Malaysia di sini pada 10 Okt lepas, Najib memberi penekanan bahawa Sarawak dan Sabah berada pada taraf yang sama dengan Malaya apabila ketigatiga wilayah ini memutuskan untuk bersatu dan membentuk negara yang kini dikenali sebagai Malaysia pada 16 Sept 1963.

Menteri Alam Sekitar dan Kesihatan Umum Sarawak Datuk Seri Wong Soon Koh berkata Najib mempunyai kebijaksanaan dalam menyatakan fakta sejarah.

"Ini adalah keputusan yang bijaksana dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberi pengiktirafan yang sewajarnya," katanya kepada pemberita di sini.

Di KUCHING, Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri Fatimah Abdullah menyambut baik pengumuman itu kerana Hari Malaysia merupakan hari bersejarah kepada pembentukan Malaysia.

Beliau berkata rakyat khasnya generasi baru perlu mengetahui tarikh penting tersebut selain mengingati tarikh kemerdekaan negara yang disambut pada setiap 31 Ogos.

"Ini sejajar dengan semangat 1Malaysia, kerana 16 Sept merupakan tarikh penting kepada pembentukan Malaysia dan kita berterima kasih kepada Perdana Menteri," katanya di sini.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Karim Abdul Rahman Hamzah berkata pengumuman tersebut merupakan satu penghormatan kepada Sarawak dan Sabah yang bersama-sama membentuk Malaysia.

Katanya tarikh tersebut cukup signifikan kepada rakyat Malaysia khasnya di Sarawak dan Sabah walaupun Semenanjung Malaysia lebih awal mencapai kemerdekaan.

"Kita di Sarawak dan Sabah memang amat menyokong pemilihan 16 Sept sebagai hari cuti umum dan ia merupakan satu tindakan yang bijak daripada Perdana Menteri," katanya.

Seorang ahli perniagaan Ahmad Dikoh berkata 16 Sept merupakan tarikh keramat kepada rakyat di Sarawak dan pengumuman cuti pada hari tersebut merupakan satu penghargaan besar kepada rakyat di Sarawak selain Sabah.

Katanya bagi generasi lama, tarikh tersebut pastinya menyimpan memori yang paling manis dengan tertubuhnya negara Malaysia pada 16 Sept 1963.

"Saya berharap selepas ini 16 Sept juga diraikan sebagaimana kita meraikan 31 Ogos kerana 16 Sept adalah Hari Malaysia," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain