suria

Ong Tee Keat akur dengan keputusan perwakilan

KUALA LUMPUR: Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, beliau akur dengan keputusan yang dibuat oleh perwakilan pada Perhimpunan Agung Luar Biasa (EGM) parti itu yang berlangsung pada Sabtu.

Antara lain para perwakilan telah mengundi untuk meluluskan usul undi tidak percaya ke atasnya namun majoriti yang diperolehi tidak mencukupi dua pertiga yang diperlukan untuk menyingkir Tee Keat dari jawatannya.

Perwakilan juga telah meluluskan resolusi untuk tidak mengembalikan kerusi timbalan presiden kepada Datuk Dr Chua Soi Lek tetapi telah meluluskan usul untuk menerimanya semula sebagai ahli parti.

Bercakap kepada para pemberita sejurus selepas tamatnya EGM itu lewat petang Sabtu, Tee Keat berkata, Jawatankuasa Kerja Pusar MCA dan Majlis Presiden akan duduk berbincang hasil keputusan yang telah dibuat oleh para perwakilan.

“Kita menerima apa jua keputusan yang telah diputuskan oleh para perwakilan tetapi pada masa yang sama, parti ini akan terus berfungsi sepertimana sedia ada. Kita hanya akan menyeberang jambatan bila tiba masa untuk berbuat demikian,” katanya lagi.

Dan apabila ditanya apakah beliau akan meletakkan jawatan dengan keputusan para perwakilan ini, Tee Keat hanya berkata: “ikut apa yang telah saya cakap...itu sahaja.”

Ketika ditanya, apakah keputusan para perwakilan ini mengejutkannya, Tee Keat menjawab: “Kamu boleh lihat sejak semalam atau malam sebelumnya sehinggalah sekarang, saya masih tetap seperti saya. Ada anda nampak sebarang ekspresi terkejut di muka saya?”

Kata Tee Keat, dari hari pertama lagi, kepimpinan parti telah berazam untuk menyelesaikan krisis yang melanda MCA menerusi EGM dan pucuk pimpinan akan terus berpegang kepada apa yang telah diputuskan oleh para perwakilan.

Ketika ditanya apakah pada pandangannya, hasil keputusan para perwakilan membawa krisis itu hampir kepada satu resolusi Tee Keat berkata, beliau berpendapat adalah tidak wajar bagi sesiapa pun pada ketika ini untuk membuat sebarang andaian.

Beliau kemudiannya merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaannya kepada seluruh perwakilan dan juga pihak urusetia yang telah menguruskan perjalanan EGM dengan sempurna dan dengan jayanya tanpa sebarang masalah besar timbul di sepanjang persidangan berlangsung.

Turut hadir pada sidang akhbar yang diadakan itu ialah Naib Presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai, Ketua Pemuda Datuk Dr Wee Ka Siong dan Ketua Wanita Datin Paduka Chew Mei Fun.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain