suria

Azalina terkilan cadangan pindaan Puteri ditolak

KOTA TINGGI: Bekas Ketua Pergerakan Puteri Umno, Datuk Seri Azalina Othman Said melahirkan rasa terkilan apabila cadangan pindaan supaya wanita berumur 18 hingga 35 tahun yang menyertai Umno didaftar secara automatik sebagai anggota Puteri, ditolak.

Beliau berkata sekiranya generasi muda wanita Melayu masih terpaksa membuat pilihan sama ada menganggotai Wanita atau Puteri dalam parti tersebut, Umno yang menjadi parti tunjang Melayu tidak akan menjadi kuat.

"Saya terkilan apabila pindaan itu ditolak kerana saya sentiasa menyatakan bahawa mereka di bawah umur 35 tahun perlu dijadikan ahli Puteri secara automatik sebelum kemudian menjadi ahli Wanita apabila mecapai umur 35 tahun ke atas.

"Kalau kita mengemaskini mereka seperti Pemuda contohnya iaitu semua anggota di bawah 40 tahun menyertai sayap parti itu manakala yang melebihi umur 40 tahun akan masuk bahagian, maka ini akan memberi kekuatan kepada kepimpinan generasi muda dalam parti," katanya.

Ketua Umno dan anggota Parlimen Pengerang itu mengulas pindaan Perlembagaan Umno pada majlis rumah terbuka Aidilfitri anjurannya di Bandar Penawar, di sini, hari ini.

Beliau turut mencadangkan supaya Pergerakan Puteri mengikut jejak Pergerakan Wanita yang memohon lebih ramai anggotanya menjadi pembuat dasar dan penentu keputusan sebanyak 30 peratus di peringkat parti.

Katanya, sayap pergerakan itu tidak boleh menafikan jumlah kepimpinan generasi muda dalam pergerakan tersebut iaitu sebanyak 60 peratus yang terdiri daripada mereka di bawah umur 40 tahun.

"Kalau kita hendak Umno lebih diminati oleh orang muda, mereka wajib diyakinkan bahawa Umno menerima suara wanita Melayu muda," tegasnya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain