suria

54 lelaki ditahan dalam Ops Jaga Kereta Haram

KUALA LUMPUR: Seramai 54 lelaki tempatan ditahan kerana menjaga tempat letak kereta secara haram dan meminta wang daripada pengguna jalan raya dalam Operasi Jaga Kereta Haram di sekitar bandaraya ini sejak 2 Okt lepas.

Operasi yang dijalankan selama dua minggu berakhir 18 Okt ini dibuat di sekitar kawasan Bangsar, Jalan P.Ramlee, Jalan Bukit Bintang, Jalan Ampang, Jalan Munshi Abdullah dan Jalan Doraisamy.

Pemangku Ketua Trafik Kuala Lumpur Supt Rusli Mohd Noor berkata kesemua suspek yang berumur antara 20 hingga 50 tahun itu ditahan sejak operasi bermula sehingga semalam.

"Ujian air kencing mendapati lima daripada mereka positif dadah manakala 28 orang sudah dituduh dan disabitkan di mahkamah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Rusli berkata kes disiasat mengikut Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan bagi kesalahan pertama manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya denda tidak melebihi RM4,000 atau penjara tidak melebihi setahun.

Beliau berkata operasi seperti itu akan dibuat secara berterusan dalam skala besar bagi mengelak pertambahan penjaga tempat letak kereta haram.

"Kita lihat ramai di kalangan pemandu yang suka memberi duit kepada mereka (penjaga tempat kereta haram) sedangkan tempat itu (parkir) adalah hak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

"Ini akan menggalakkan pertambahan penjaga tempat kereta haram kerana mereka menganggap kerja itu tidak salah dan boleh dapat wang dengan mudah," katanya.

Oleh itu, Rusli menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah memberi wang kepada penjaga tempat kereta haram kerana ia salah di sisi undang-undang. BERNAMA

Artikel Lain