suria

Tiga rakyat Malaysia ditahan kerana penipuan kad kredit

BANGKOK: Tiga rakyat Malaysia ditahan di sebuah pusat membeli belah di pinggir bandar raya Bangkok kerana cuba membeli kamera dengan menggunakan kad kredit palsu.

Ketiga-tiga mereka, dua daripadanya berumur 28 tahun dan seorang lagi berusia 43 tahun, ditahan polis Thailand sementara menunggu kad kredit mereka diproses di sebuah kedai menjual kamera di wilayah Nonthaburi.

"Namun tanpa pengetahuan mereka, pemilik kedai yang mensyaki terdapat suatu yang mencurigakan pada kad mereka, menghubungi bank untuk mengesahkan kad," Ketua Metropolitan Wilayah Satu Mej Jen Pol Chalong Sonchai memberitahu media hari ini.

Beliau berkata polis menuju ke pusat membeli belah itu setelah dimaklumkan dua bank komersil dan menemui rakyat Malaysia berkenaan menunggu di kedai menjual kamera.

Semasa pemeriksaan, polis menemui 10 kad kredit palsu didakwa dikeluarkan oleh bank di Eropah dan Amerika Syarikat serta dua pasport palsu.

Puluhan rakyat Malaysia ditahan di Thailand sejak akhir-akhir ini kerana penipuan kad kredit.

Di Penjara Klong Prem dekat sini, lebih dua pertiga daripada 92 banduan Malaysia sedang menjalani hukuman penjara kerana penipuan kad kredit.

Pada Januari, seorang rakyat Malaysia 40 tahun yang dikehendaki Amerika Syarikat kerana mengimbas dan mencuri data pemegang kad kredit, ditahan polis Thailand di Nonthaburi. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain