suria

Bekas anggota tentera ditemui mati di tanah perkuburan Cina

KUCHING: Hasrat Ahmad Ridzuan Yahya, 46, untuk menyambut 1 Syawal bersama keluarga tersayang tidak kesampaian kerana beliau ditemui mati dibunuh di Tanah Perkuburan Hokkien di Jalan Batu Kitang di sini pada lewat malam Sabtu.

Mayat anggota tentera yang berasal dari Perak itu ditemui dengan matanya dibalut dengan kain dan pelekat dan empat daripada jarinya putus.

Ketua Daerah Polis Kuching ACP Wong Wai Loong berkata polis yang bergegas ke tempat kejadian setelah menerima panggilan orang ramai mengenai satu pergaduhan di Jalan Batu Kitang menemui mangsa terlantar di tanah perkuburan itu.

"Anggota forensik yang memeriksa mayat mangsa tidak menemui kecederaan fizikal selain empat jari di tangan kanan mangsa yang terputus dan terdapat satu kesan potong di ibu jari kiri," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUs) untuk bedah siasat.

Wong berkata polis juga menemui kereta jenis Atos milik mangsa di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce di sini awal pagi ini.

"Berdasarkan siasatan awal, kereta yang dipandu mangsa dipercayai dihimpit sebelum cermin depan dan tepi kereta dipecahkan.

"Polis percaya mangsa yang memandu bersendirian telah dilarikan oleh orang yang tidak dikenali pada petang semalam," katanya.

Beliau menambah polis turut menemui serbuk putih disyaki syabu dalam kereta namun ia akan disahkan kemudian.

Wong menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Daerah Kuching di nombor telefon 082244444.

Artikel Sebelum

Tiada kematian baru jangkitan H1N1

Artikel Berikut

Artikel Lain