suria

Sejarah berulang kembali di dalam MCA

KUALA LUMPUR: Ia merupakan sejarah yang berulang kembali bagi parti komponen kedua terbesar dalam Barisan Nasional (BN), MCA apabila pemimpinnya terpaksa mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) bagi menyelesaikan krisis politiknya.

Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat memutuskan supaya parti itu mengadakan EGM, dijangka diadakan pada hujung bulan ini, bagi mengesahkan keputusan Majlis Presiden memecat timbalan presiden Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berikutan skandal seks membabitkan bekas menteri kesihatan itu pada awal 2007.

Berikutan pemecatan itu, penyokong Dr Chua melancarkan kempen tandatangan bagi mendapatkan satu pertiga perwakilan memohon bagi EGM diadakan untuk membatalkan keputusan itu.

Belum pun sempat penyokong Dr Chua mengemukakan permohonan bagi EGM itu diadakan, Ong terlebih dahulu memutuskan untuk mengadakan EGM.

Berdasarkan perlembagaan parti, EGM mesti diadakan dalam tempoh 30 hari seperti yang diperuntukkan mengikut Artikel 30.1 perlembagaan MCA dan notis EGM mesti dihantar kepada perwakilan 21 hari sebelum tarikh EGM. Namun, parti boleh memendekkan tempoh itu kepada separuh.

"Apa yang saya lihat ialah Presiden mahu isu ini diselesaikan sekali gus. Kelihatannya EGM bakal diadakan seawal 13 Sept atau seminggu selepas Hari Raya pada 27 Sept, sebelum parti mengadakan mesyuarat agung tahunannya (AGM) pada 11 Okt yang akan dirasmikan Perdana Menteri. Satu EGM sebelum AGM merupakan satu landasan bagi menyelesaikan isu ini sekaligus," kata veteran MCA Datuk Yap Pian Hon. Bagi pemerhati dan penganalisis politik, apa yang berlaku ketika ini adalah sama dengan apa yang terjadi kepada parti itu pada awal 80an.

Bekas setiausaha agung MCA Tan Sri Dr Ting Chew Peh berkata senario semasa adalah hampir sama dengan krisis yang dihadapi MCA pada 1984 berhubung isu anggota hantu di mana pemangku presiden ketika itu, Neo Yee Pan memecat Tan Koon Swan dan 13 pemimpin serta anggota parti.

Krisis bermula apabila Neo memecat Tan dan Datuk (kini Tan Sri) Lee Kim Sai daripada jawatan masing-masing sebagai pengerusi perhubungan MCA Wilayah Persekutuan dan MCA Selangor pada 17 Mac 1984.

Pada hari yang sama Datuk Mak Hon Kam, menerusi kapasitinya sebagai pengerusi Jawatankuasa Disiplin parti mengumumkan pemecatan 14 pemimpin dan anggota termasuk Tan, Lee dan anggota Jawatankuasa Pusat seperti Dr Ling Liong Sik, Datuk Kee Yong Wee, Wong Choon Wing dan Datuk Wong Mook Leong.

Pengumuman itu bukan hanya mengejutkan parti tetapi seluruh masyarakat Cina sehingga menyebabkan anggota parti di seluruh negara mendesak parti untuk menarik balik arahan pemecatan itu.

Dalam tempoh 48 jam selepas pemecatan, lebih 1,499 anggota perwakilan mengemukakan petisyen bersama mendesak supaya EGM diadakan bagi membatalkan arahan pemecatan dan melantik satu jawatankuasa khas bagi menyiasat dan menangani isu anggota hantu.

Desakan itu bagaimanapun tidak dihiraukan pemimpin ketika itu sehingga menyebabkan kes itu berlanjutan ke mahkamah.

Krisis itu tamat pada 24 Nov 1985 apabila mesyuarat perwakilan diadakan dan memilih kepimpinan baru di bawah Tan Koon Swan dan Datuk (kini Tun) Dr Ling Liong Sik sebagai timbalan presiden dan Lee sebagai setiausaha agung.

Satu lagi senario krisis politik MCA yang diselesaikan menerusi EGM ialah apabila kepimpinan parti yang diketuai Dr Ling memutuskan untuk membeli Nanyang Press Holding Berhad.

Krisis itu menyebabkan parti berpecah kepada dua kumpulan, iaitu Team A dengan kumpulan diketuai Dr Ling dan Dr Chua, yang menyokong pembelian Nanyang Press Holding Berhad manakala timbalannya Tan Sri Lim Ah Lek mengetuai satu kumpulan lagi termasuk presiden sekarang, Ong yang membantah pembelian itu. Isu itu selesai selepas Dr Ling mengadakan EGM yang menyaksikan majoriti anggota perwakilan mengesahkan pembelian Nanyang Press Holdings Bhd menerusi badan pelaburan parti, Huaren Holdings Sdn Bhd.

Sumber dalaman parti berkata keputusan mengadakan EGM bakal menjadi cabaran terbesar yang dihadapi Ong kerana kegagalan untuk memenangi hati anggota perwakilan akan bermakna kerjaya politiknya terkubur.

"Jika anggota perwakilan gagal mengesahkan keputusan Majlis Presiden memecat Dr Chua ini bermakna keseluruhan anggota Majlis Presiden perlu meletak jawatan kerana ia merupakan keputusan bersama untuk memecat Dr Chua.

"Begitu juga, jika EGM mengesahkan keputusan Majlis Presiden memecat Dr Chua, ia juga akan menunjukkan berakhirnya kerjaya politik Dr Chua. Bukan itu sahaja, penyokongnya juga akan tersingkir keluar daripada parti," kata sumber dalaman parti itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain