suria

MAIM mahu Majlis Fatwa kenakan tindakan terhadap Nik Aziz

MELAKA: Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) diminta untuk membuat aduan rasmi kepada Majlis Fatwa Kebangsaan supaya satu tindakan dikenakan kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana menyelewengkan akidah umat Islam di negara ini.

Ketua Menteri yang juga Pengerusi MAIM Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata permintaan bagi tindakan ke atas Nik Aziz itu telah diputuskan melalui mesyuarat MAIM.

"Perkara mengenai kenyataan Nik Aziz telah dibincangkan dan saya mencadangkan satu tindakan ke atas Mursyidul Am PAS itu berhubung kenyataan terbaru beliau yang ajaran Islam dibawa oleh Umno tidak membawa seorang Muslim itu masuk syurga," kata Mohd Ali kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Mohd Ali beliau telah merujuk kepada Mufti negeri Melaka Datuk Wira Rashid Redza Md Saleh yang memaklumkan bahawa kenyataan Nik Aziz itu seolah mengkafirkan umat Islam sedangkan terdapat enakmen melarang perbuatan itu. "Kita dah ada fatwa iaitu umat Islam tidak boleh mengkafirkan sesama umat Islam lain dan saya fikir elok tindakan sewajarnya diambil kepada Nik Aziz mengikut fatwa itu," katanya.

Beliau berkata Nik Aziz telah banyak kali menyelewengkan agama Islam dengan kenyataankenyataan beliau yang bercanggah dengan ajaran Islam sebenar.

"Saya minta beliau meletak jawatan sebagai Mursyidul Am PAS dan selain itu meminta beliau bertaubat berhubung kenyataan-kenyataan beliau," katanya. Katanya MAIM akan menghantar surat kepada Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung perkara itu. BERNAMA

Artikel Lain