suria

Lelaki warga Aceh dilepas daripada tuduhan edar dadah

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki Aceh hari ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati tidak bersalah terhadap pertuduhan mengedar dadah seberat 877 gram pada 2004.

Hakim Datuk Ghazali Cha membebaskan Sayuti Muhammad Ali, 32, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap pertuduhan itu.

Ghazali juga memerintahkan supaya Sayuti dibawa ke Jabatan Imigresen untuk urusan menghantar tertuduh pulang ke Indonesia.

Sayuti jelas kelihatan gembira dan tersenyum selepas mendengar keputusan itu.

Ghazali dalam keputusannya berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan dan mengemukakan dua elemen penting iaitu demonstrasi yang dilakukan di mahkamah pada 8 Mei lepas mengenai cara dadah dimasukkan di bahagian hadapan seluar tertuduh, dan di mana paket dadah itu disembunyikan.

Beliau berkata mahkamah mengambil berat terhadap keterangan tertuduh yang diberikan dalam keadaan bersumpah.

Menurutnya berdasarkan keterangan tertuduh yang diberi, dia berkalikali menyatakan bahawa dadah itu ditemui dan ditunjukkan kepadanya oleh anggota polis ketika berada dalam rumah, bukan di lif iaitu di mana dia ditahan.

Katanya mahkamah juga mendapati siasatan rapi dan terperinci tidak dilakukan oleh pegawai penyiasat kes itu.

Sayuti didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 877 gram di depan lif, bahagian bawah Blok b, Rumah Pangsa 17 Tingkat, Kampung Baru, dekat sini, kira-kira pukul 2.30 pagi, 3 November 2004.

Bagi kesalahan itu, dia boleh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang mana jika sabit kesalahan, boleh dihukum gantung sampai mati.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Geetham Ram Vincent manakala Sayuti diwakili peguam Datuk Baljit Singh. BERNAMA

Artikel Lain