suria

Kastam rampas barang seludup bernilai

KUALA TERENGGANU: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) berjaya merampas barang seludup bernilai RM175 juta yang melibatkan 2,500 kes di seluruh negara dalam tempoh lapan bulan tahun ini.

Ketua Pengarah KDRM Datuk Ibrahim Jaapar berkata jumlah itu meningkat berbanding RM167 juta yang diperoleh pada sepanjang tahun lepas.

"Masih ada masa empat bulan lagi dan kita jangka jumlah rampasan barangbarang seludup akan meningkat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat PengarahPengarah Kastam SeMalaysia ke61 di sini hari ini.

Beliau berkata rokok dan minuman keras merupakan barang rampasan seludup yang paling tinggi tahun ini.

Katanya menjelang bulan puasa dan Hari Raya akan datang, KDRM juga telah merampas mercun dan bunga api di beberapa buah negeri.

"Hari ini sahaja kita telah merampas mercun dan bunga api di Sabah, namun jumlahnya belum diketahui," katanya. Ibrahim berkata KDRM telah mengatur langkah-langkah lebih berkesan supaya penyeludup tidak dapat membolosi negara ini.

Beliau berkata dalam keadaan krisis ekonomi global kini, Kastam akan memastikan tidak ada pihak yang mengambil kesempatan mencari jalan mudah untuk mendapat keuntungan dengan menyeludup.

"Tanggungjawab utama Kastam ialah membanteras kegiatan demikian supaya dapat mengelak persaingan tidak adil di kalangan peniaga yang menjalankan perniagaan dengan jujur," katanya.

Beliau berkata kegawatan ekonomi yang melanda dunia juga telah memberi kesan yang agak ketara kepada prestasi pungutan hasil KDRM.

Berdasarkan kepada statistik, katanya jumlah hasil yang dipungut oleh jabatan berkenaan untuk tempoh sehingga bulan ini ialah sebanyak RM15.69 bilion berbanding RM17.08 bilion bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Beliau berkata jumlah itu jauh berkurangan berbanding sasaran pungutan KDRM untuk tempoh yang sama tahun ini iaitu sebanyak RM18.50 bilion. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain