suria

TPM: Malaysia bukan sarang biak pengganas

PERTH: Malaysia tidak harus dicap atau dianggap sebagai sarang membiak pengganas hanya kerana seorang atau dua rakyatnya terbabit dalam aktiviti keganasan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, rekod membuktikan bahawa Malaysia tidak pernah menjadi sarang membiak untuk kumpulan pengganas dan merupakan sebuah negara demokratik yang aman sejak sekian lama.

"Adalah tidak adil untuk mengecap negara kita sebagai sarang membiak pengganas," katanya ketika mengulas kemungkinan pengganas paling dikhendaki di Asia, Noordin Mat Top, seorang warga Malaysia, ditembak mati oleh polis elit antipengganas Indonesia di Temanggung, Jawa Tengah, semalam.

Bercakap kepada pemberita di hari terakhir lawatan kerja lima hari di sini, Muhyiddin berkata, kerajaan Malaysia telah mengambil beberapa langkah yang berkesan bagi mencegah aktiviti keganasan.

"Di semua tempat ada orang baik dan jahat. Keganasan turut berlaku di Amerika Syarikat dan Eropah. Adakah ini bermakna, negaranegara tersebut merupakan sarang pengganas?, katanya.

Katanya, Kuala Lumpur sentiasa bekerjasama rapat dengan Jakarta bagi menangani masalah keganasan.

Mengenai kebimbangan Australia bahawa Malaysia dijadikan sebagai pusat persinggahan bagi aktiviti penyeludupan manusia dari negara lain ke negara itu, Muhyiddin berkata, masalah itu sedang ditangani buat masa ini.

"Kita juga turut bimbang. Kita tidak mahu dicap sebagai pusat persinggahan penyeludupan manusia. Kita akan mengambil langkah tegas bagi menangani situasi ini," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain