suria

46 ditahan positif dadah sekitar ibu negara

KUALA LUMPUR: Seramai 46 orang termasuk seorang wanita ditahan selepas ujian air kencing mereka didapati positif heroin dalam satu operasi mencegah jenayah di sekitar ibu negara malam tadi.

Kesemua mereka berumur dalam lingkungan 18 hingga 65 tahun dan ditahan sekitar kawasan Puduraya, Jalan Petaling, Kota Raya, Pasar Seni, Jalan Chow Kit, Jalan Tiong Nam dan Jalan Raja Alang.

Pegawai Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur ASP Mohd Ashril Md Johar berkata kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya untuk rawatan dan pemulihan.

"Dalam operasi ini, kita juga berjaya menahan seorang lelaki berumur 20an yang menjadi sasaran polis sebelum ini kerana memiliki satu tiub heroin seberat 0.5 gram dan ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya iaitu langkahlangkah pencegahan khas," katanya di sini hari ini.

Katanya polis turut menahan seorang lelaki yang memiliki 15 tiub heroin seberat 2.9 gram dan disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Bahaya 1952.

Operasi selama empat jam bermula pukul 8 malam itu adalah ke arah sasaran menurunkan 20 peratus jenayah jalanan menjelang 2010 sebagai salah satu teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). BERNAMA

Artikel Lain