suria

ADUN Terengganu dibebas dengan ikat jamin

KEMAMAN: Seorang Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu daripada Barisan Nasional yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahad lepas kerana didakwa menerima sogokan lebih RM20,000, dilepaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini dengan ikat jamin.

ADUN berkenaan bersama dua lagi rakannnya diperintah dilepaskan dengan ikat jamin sebanyak RM5,000 bercagar dengan seorang penjamin setiap seorang sehingga tarikh perbicaraan ditetapkan.

Menurut Syed Azimal Syed Abu Bakar, peguam bela ADUN itu, anak guamnya bersama dua lagi tertuduh juga diarah supaya melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran sehingga tarikh berkenaan.

Perintah itu dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Rofiah Mohamad, dalam prosiding tertutup yang dijalankan di kamar hakim disebabkan hari ini merupakan hari cuti di Terengganu.

Sebelum itu, Syed Azimal berkata, anak guamnya telah dibawa ke Hospital Daerah Kemaman pagi tadi untuk tujuan pemeriksaan kesihatan setelah mengadu sakit dada. Ketiga-tiga tertuduh tiba di perkarangan mahkamah kira-kira pukul 10.40 pagi tadi dengan menaiki tiga buah kenderaan, dan dua daripada mereka termasuk ADUN itu, dilihat memakai topeng penutup muka dan topi. Mereka meninggalkan mahkamah pada 11.30 pagi.

Perkarangan mahkamah turut dipenuhi dengan penyokong dan sanak saudara ketiga-tiga tertuduh sejak awal pagi lagi.

Ahli politik itu bersama dua rakannya ditahan di sebuah hotel di sini pada Ahad lalu kerana didakwa menerima sogokan RM20,000 daripada sebuah syarikat pemaju. BERNAMA

Artikel Lain