suria

A (H1N1): Angka korban tempatan kini 13

KUALA LUMPUR: Bilangan kes kematian akibat Influenza A(H1N1) meningkat kepada 13 orang semalam, dengan lima kematian lagi termasuk empat kanak-kanak.

Tiga kematian dilaporkan di Melaka sementara satu lagi di Johor dan satu lagi kes kematian pertama dicatatkan di Pahang.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Ismail Merican berkata ketigatiga kes kematian di Hospital Melaka berlaku dalam tempoh tiga hari lepas.

Menurutnya kematian pertama melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berumur tiga tahun yang mempunyai sejarah jangkitan saluran pernafasan kronik dan meninggal dunia akibat jangkitan radang paru-paru teruk.

"Selain itu seorang kanak-kanak lelaki berumur 12 tahun dengan kegagalan buah pinggang kronik dan sedang menjalani rawatan dialisis juga meninggal dunia akibat jangkitan pneumonia teruk," kata beliau dalam kenyataan di sini semalam.

Mangsa ketiga ialah seorang lelaki berumur 20 tahun yang menghidap kronik asma yang meninggal dunia juga kerana radang paru-paru teruk.

Di Johor Baharu, seorang budak lelaki berumur enam tahun meninggal dunia awal hari ini juga selepas mengalami radang paruparu, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Masyarakat dan Kesihatan Johor, Dr Robia Kosai.

Beliau berkata budak lelaki itu yang demam sejak beberapa hari lepas dihantar ibu bapanya mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta sebelum dimasukkan ke Hospital Batu Pahat apabila keadaannya semakin teruk.

Di Pahang, seorang kanakkanak lelaki berusia enam tahun menjadi korban pertama jangkitan influenza A (H1N1) di negeri itu.

Kanak-kanak berkenaan, Mohd Hyafiq Aiman Mohd Saiful Afendi meninggal di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, tengah hari semalam.

Sementara itu, jumlah kes Influenza A(H1N1) sehingga 8 pagi ini, adalah 1,476 kes dengan 574 merupakan kes import dan 902 kes jangkitan tempatan.

Dr Ismail berkata 1,413 kes telah sembuh manakala 10 masih dirawat di ICU dan 28 lagi sedang menerima rawatan antiviral di wad isolasi.

Mengenai situasi global pula, sebanyak 193,686 kes dicatat dengan 1,361 kematian dilaporkan sehingga hari ini di 171 negara.

Di Labuan, Sabah, lapan kes baru jangkitan tempatan dilaporkan dan tiga lagi sekolah diarah tutup sejak kelmarin.

Pengarah Kesihatan Labuan Dr Zaini Hussin berkata dua kes itu masingmasing di Sekolah Kebangsaan Pekan, Sekolah Kebangsaan Pantai and Sekolah Menengah Sains.

Pelajar yang tinggal di asrama Sekolah Menengah Sains itu dikuarantin dan tidak dibenarkan keluar dari kawasan sekolah.

Sejumlah 409 pelajar kini tinggal di asrama itu.

Pengetua sekolah berkenaan Ali Deros memberitahu Bernama bahawa pelawat termasuk ibu bapa dan saudara mara pelajar dilarang memasuki kawasan sekolah tersebut. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain